BEKAS pemain Manchester United, Michael Carrick akan terus mengemudi skuad The Red Devils itu bagi mengharungi aksi berdepan Arsenal di Stamford Bridge pada Jumaat, berikutan pengendali interim Ralf Rangnick menantikan visa kerjanya.
Menurut satu kenyataan daripada kelab berkenaan, Carrick yang ditugaskan selaku caretaker United sejak penyingkiran Ole Gunnar Solskjaer dilihat menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan setakat ini.
Justeru menurut kenyataan berkenaan, Carrick diharap dapat meneurskan prestasi sedemikian ketika berdepan Arsenal dan sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan The Red Devils dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Isnin lalu kita telah umumkan Ralf Rangnick selaku pengendali interim, tetapi kita juga mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan berhubung visa kerja.
"Oleh itu, buat ketika ini Carrick akan meneruskan tugas mengendalikan United sehingga segala urusan berkaitan visa kerja Rangnick selesai,” menurut kenyataan berkenaan.
Untuk rekod Rangnick yang juga bekas ketua sukan dan pembangunan kelab terkemuka Russia, Lokomotiv Moscow, direkrut selaku pengendali interim United setelah pemecatan Ole Gunnar Solskjaer, minggu lalu.
Bagaimanapun setakat ini, tugas mengendalikan skuad The Red Devils itu dijalankan oleh bekas pembantu Solskjaer yang juga bekas rakan sepasukannya ketika beraksi di Old Trafford, Michael Carrick.
Sementara itu Carrick menegaskan setakat ini persiapan United berjalan seperti biasa dan tidak ada sebarang berita terkini mengenainya.
"Setakat ini tidak ada apa-apa mengenai persiapan kami namun saya mahu semua pemain memberikan fokus kepada perlawanan dengan Arsenal,” katanya.