SEREMBAN - Wanita hamil yang parah dipukul suaminya sehingga koma, Jahidah Nordin, 43, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di sini malam Selasa.
Menerusi hantaran Facebook adiknya, Fauziah Nordin, 40, Jahidah menjalani pembedahan kecemasan kira-kira jam 9 malam.
"Alhamdulillah kak Jahidah sudah lahirkan baby, pembedahan kecemasan pukul 9 (malam). Esok kena ke hospital tengok baby.
"Sekarang keadaan kakak kena pantau 24 jam," tulisnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Jahidah yang sedang hamil dijangka melahirkan bayi secara pembedahan pada Rabu.
Jahidah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.
Doktor memaklumkan bahawa wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiact arrest (jantung terhenti) dan kematian.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita koma dibelasah suami bakal lahirkan bayi secara pembedahan