Selangor tubuh jawatankuasa bantu pengusaha inap desa

Iklan
Sidang DUN Selangor. (gambar kecil) Loy Sian.

SHAH ALAM - Selangor sedang berusaha menubuhkan satu jawatankuasa untuk membantu pengusaha inap desa di negeri ini yang masih belum mendapatkan kebenaran merancang di premis perusahaan mereka.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, kebanyakan inap desa yang terletak di tepi kawasan sungai sekitar negeri ini beroperasi tanpa kelulusan kebenaran merancang malah tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Tourism Selangor juga sedang menjalankan perbincangan lanjut bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.

"Ini adalah supaya kita dapat memberi kebenaran merancang kepada pihak terlibat dengan syarat-syarat tertentu untuk bantu mereka terus beroperasi," katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Iklan

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong-BN) berhubung usaha kerajaan negeri bagi membantu pengusaha inap desa untuk memastikan mereka terus berdaya saing.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri juga turut berusaha mempromosikan beberapa kawasan ekopelancongan yang dikenal pasti bagi menggalakkan pelaburan swasta untuk menjadikan lokasi itu sebagai tarikan pelancong.

Iklan

"Ada syarikat swasta yang bersetuju untuk melabur sebanyak RM100 juta untuk jadikan kawasan Taman Alam Kuala Selangor sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sebelum ini juga telah luluskan cadangan itu secara dasar," katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa lokasi lain seperti Pulau Ketam, Sungai Limau dan Sungai Congkak yang turut mendapat cadangan daripada pihak swasta bagi tujuan pelaburan untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan.