MERSING - Dua kanak-kanak yang juga anak anggota tentera di Kem Iskandar Mersing di sini lemas dipercayai ketika mandi di lombong pasir di Kampung Sisik, Tanjung Resang, dekat sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superitendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, Balai Polis Endau menerima panggilan kejadian pada jam 6.35 petang memaklumkan dua kanak-kanak, Meredith Mcaela Anak Alfread, 10, dan Wester Carlos Anak Pilip Wester, 4, lemas.
Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada perbuatan jenayah.
"Mangsa bersama ibu dan adik-beradiknya serta jiran dan anak-anak pergi ke lombong pasir tersebut untuk berkelah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Pihak bomba melakukan pencarian di sekitar lombong dan operasi pencarian dibantu oleh bapa mangsa yang turut berada di lokasi.
"Kedua-dua mangsa dijumpai oleh bapa mangsa dan bomba memberikan rawatan awal sebelum mereka dihantar ke hospital. Operasi tamat jam 7.28 petang," katanya.