Demi ibu, 'abang sado' berhenti kerja dan hanya jual kek

Iklan
Azrul menunjukkan sijil yang diterima dalam pertandingan World Super Exquisite Cake.

YAN - Kesanggupannya meninggalkan kerjaya akhirnya membuahkan hasil apabila perniagaannya kini dikenali ramai.

Azrul Nizam Azali, 27, mengambil keputusan berhenti kerja selepas kesihatan ibunya yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Katanya, ketika bekerja di pelantar minyak Terengganu, ibunya terjatuh dan tidak sedarkan diri.

"Ibu terpaksa dibawa ke hospital hampir setiap hari dan adik beradik yang lain bergilir-gilir menjaga ibu," ceritanya.

Iklan

Anak keenam daripada tujuh beradik ini mengambil keputusan berhenti kerja bagi mengambil tanggungjawab menjaga ibunya.

"Ibu ada penyakit buah pinggang, dan perlu menjalani dialisis empat kali sehari.

Iklan

"Dialisis di rumah dan sayalah jadi doktor peribadi ibu, kalau nampak pelik, terus rujuk doktor," katanya yang menguruskan dialisis ibunya sendiri.

Selain menguruskan ibunya, graduan diploma dalam bidang pastri ini mula menghasilkan creampuff pada awal 2017 sejurus berhenti kerja.

"Selepas ibu pulih dan dialisis pun di rumah saja, saya ada masa sikit dan mula mengorak langkah.

"Masa tu creampuff memang dapat sambutan dan saya cuba pasarkan di sekitar Sungai Petani," ceritanya.

Selain berjual secara langsung, Azrul manfaatkan media sosialnya dan mula iklankan di Facebook.

"Adalah dua pelanggan yang tempah, tapi saya tetap hantar walau jauh.

"Niat masa tu nak bagi orang kenal dan Alhamdulillah dari hari ke hari saya terima banyak tempahan," ujarnya lagi.

Kini Azrul tidak lagi menghantar tempahan tetapi hanya menunggu pelanggan di kedainya di Kampung Tengah Kuala Sungai Yan.

Pada waktu lapang, Azrul akan membuat 'FB Live' ketika menghasilkan kek bagi membolehkan kenalannya mempelajari teknik tertentu.

"Saya buat kek biasa saja, yang beza kek saya adalah dekorasi kreatif atas kek," katanya.

Azrul menunjukkan kek yang siap dihasilkan.

Mengimbau ketika mula berniaga menghasilkan creampuff, Azrul akan meminta maklum balas daripada pelanggan.

"Saya utamakan kepuasan pelanggan kerana mereka yang akan jadi pelanggan tetap jika sedap," katanya.

Menurut Azrul, dia turut menghasilkan kek mengikut tema diminta pelanggan.

Kek yang memerlukan dekorasi kreatif berharga RM50 hingga RM400, namun, Azrul tetap menghasilkan kek biasa pada harga RM15 hingga RM50 bagi membolehkan semua dapat merasainya.

Sepanjang dua tahun menceburi bidang kek, tidak ada yang lebih mencabar dirinya selain persaingan.

Mendapat geran dari MADA sebanyak RM15,000 untuk membeli keperluan seperti mesin dan peti sejuk, Azrul sentiasa berfikiran positif dan optimis terhadap apa yang dilakukan.

Kerana sikapnya itulah, Azrul mendapat anugerah datri luar negara di kedudukan terbaik ke-6 dalam pertandingan World Super Exquisite Cake.

"Walaupun hanya dapat sijil, itu pengalaman paling berharga.

"Saya dapat tengok kek peserta luar negara walaupun pertandingan tu secara atas talian," katanya yang turut menjalankan bengkel mengajar pelajar sekolah dan orang ramai yang ingin mempelajari pembuatan kek.

Kini, tiada lain yang diimpikan anak muda ini selain melihat kedai Creampuff Sado miliknya mempunyai cawangan di tempat lain.