KUALA LUMPUR - Keasyikan wanita warga asing melayan pengunjung berhibur bertukar kecoh apabila mereka bertempiaran lari bagi mengelak dicekup dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Cheras di sini pada Selasa.
Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, serbuan Ops Gegar pada jam 8.30 malam itu berjaya menahan 37 individu termasuk seorang lelaki warga asing.
Syamsul Badrin memberitahu, seramai 36 wanita membabitkan 19 warga Vietnam dan 15 warga Thailand ditahan.
"Turut ditahan, masing-masing seorang warga Korea dan Laos dan seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pekerja premis itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Syamsul Badrin berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.
"Seramai 24 wanita warga asing yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 manakala 12 wanita dan seorang lelaki warga asing akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(C) akta yang sama," katanya.
Tambah beliau, imigresen akan meneruskan pemantauan dan operasi secara berterusan.
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.