KUALA LUMPUR - Kemelut rumah tangga pelakon Nynaa Harizal, 25, dan suaminya, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, 29, berakhir apabila mereka berbaik semula sejak beberapa hari lalu.
Pasangan berkenaan juga kelihatan mesra sejurus keluar dari kereta jenis Bentley untuk menghadiri prosiding sebutan semula kes bagi permohonan kembali taat kepada suami di Mahkamah Syariah di sini pada Rabu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yusof Sulaiman, kedua-duanya bersetuju untuk berdamai.
Sebelum berakhir prosiding, Mohd Yusof sempat menasihati pasangan suami isteri itu supaya sentiasa berkomunikasi kerana perbincangan merupakan penyelesaian terbaik.
"Jika diam, tiada komunikasi, masalah akan jadi.
"Kalau pagi itu tidak bercakap, petang itu dah kena geletek (bergurau senda) isteri, biar ada komunikasi," katanya.
Pada 11 November lalu, Mohamed Fahmi memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah di sini supaya isterinya kembali taat.
Permohonan tersebut difailkan Mohamed Fahmi sebagai plaintif terhadap Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal selaku defendan.
Berdasarkan dokumen tuntutan plaintif, defendan diperintah kembali taat dan pulang ke kediaman mereka di Jalan Pinang di sini.
Selain itu, tuntutan turut menyatakan bahwa ia bagi menyelamatkan pernikahan mereka supaya defendan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan hidup dalam kasih sayang.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah sejurus selesai prosiding, Mohamed Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar beberapa hari lagi.
"Kami akan jelaskan situasi kami dalam sidang akhbar nanti. Di sana anda boleh tanya 10, 20 atau 30 soalan," katanya.
Dalam prosiding pada Rabu, Mohamed Fahmi diwakili Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, manakala Nynaa diwakili Peguam Syarie, Roslizam Rahim.
Sebelum ini, media melaporkan Nynaa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bagi satu prosiding sebutan permohonan perceraian secara baik dengan Mohamed Fahmi.
Nynaa memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.
Kontroversi pasangan itu bermula pada 3 November lalu apabila media melaporkan Mohamed Fahmi tidak pasti keberadaan isterinya, namun mengesyaki Nynaa berada di kediaman keluarga mertuanya di Johor selepas ‘dilarikan’ tanpa kebenarannya beberapa hari lalu.
Berikutan itu, Mohamed Fahmi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Mohamed Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan belum dikurniakan cahaya mata.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tidak diculik keluarga' - Nynaa Harizal