Isu royalti dijangka hangatkan sidang DUN Kelantan

Iklan
Sidang DUN Kelantan bermula pada 2 Disember ini. Gambar kecil: Mohd Amar

KOTA BHARU - Isu royalti petroleum antara topik hangat yang dijangka dibincangkan oleh 45 wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanjawan 2022 Kelantan pada Khamis.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan akan menjadi perbahasan sidang DUN Kelantan kali ini.

Iklan
Iklan

"Fokus pertama perbincangan adalah melibatkan Belanjawan 2022, itu agenda paling utama dan paling besar.

"Namun isu royalti terserah kepada ahli dewan. Biasanya mereka akan sentuh pelbagai isu, kita dengar sajalah, namun kami tiada agenda khusus tentang royalti," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Mohd Amar berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat juga hadir untuk melakukan ujian swab Covid-19 pada Rabu sebagai salah satu syarat sebelum menghadiri sidang DUN pada Khamis.

Iklan

Katanya, persidangan berkenaan sepatutnya diadakan pada November lalu, namun ia ditangguhkan di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielak.

Sinar Harian sebelum ini dimaklumkan persidangan berkenaan dijangka bermula pada 2 Disember dan ia akan disambung pada 5 hingga 7 Disember untuk perbahasan.