PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penutupan sidang Parlimen merupakan langkah terakhir diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengatasi penularan Covid-19.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, setakat ini tiada keperluan untuk berbuat demikian.
"Sekarang kita sudah ada kerangka dan mempunyai pengalaman dalam menangani kes positif yang wujud," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keperluan menggantung sementara sidang Parlimen susulan penularan jangkitan Covid-19 pada Isnin yang berkemungkinan besar adalah varian Delta.
Menurut beliau, ujian saringan dilakukan setiap dua hari di Parlimen agar dapat mengesan Covid-19 dengan lebih awal.
"Apabila dapat kesan cepat, kita dapat melakukan pengasingan secara pantas.
''Dengan langkah tersebut termasuk Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan dan vaksinasi kita harap tiada langkah drastik perlu diambil," katanya dalam sidang akhbar perkembangan Omicron di kementeriannya pada Rabu.
Turut serta, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
KKM pada Selasa mengesahkan 25 kes positif Covid-19 kesan di Parlimen pada Isnin dan kemungkinan besar adalah varian Delta.
Difahamkan masih terdapat kes baharu dikesan di Parlimen.