Omicron: Malaysia perketat kembali sempadan antarabangsa

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123rf

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia kembali mengambil langkah mengetatkan sempadan antarabangsa susulan 20 negara melaporkan jangkitan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antaranya adalah meletakkan Malawi dalam senarai terbaharu sekatan perjalanan.

Iklan
Iklan

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan sekatan perjalanan sementara untuk pengembara asing dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara disenaraikan berisiko tinggi, selain pengembara mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari," katanya.

Selain Malawi, tujuh negara Afrika terlebih dahulu disenarai sebagai larangan perjalanan iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Iklan

Menurutnya, KKM akan mengemaskini secara harian senarai larangan sekatan perjalanan antarabangsa dan diedarkan kepada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Rakyat tempatan tidak dibenarkan membuat perjalanan ke negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku penularan," katanya dalam sidang akhbar perkembangan Omicron di kementeriannya, pada Rabu.

Iklan

Turut serta, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja warga asing ke negara ini dari negara yang disenaraikan turut ditangguh sementara.

"Tiada sekatan kemasukan dikenakan pengembara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang," katanya.

Bagaimanapun Khairy berkata, mereka perlu melakukan ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas, semasa ketibaan masuk pintu antarabangsa negara dan pada hari ke-10 tempoh kuarantin.

"Kuarantin adalah wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi," katanya.

Setakat ini, sebanyak 203 daripada 215 kes Omicron dilaporkan di dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Afrika Selatan merekodkan 129 kes diikuti Bostwana (19), Netherland (12), Portugal (13), United Kingdom (sembilan), Australia (enam), Hong Kong dan Jerman (lima),

Itali, Israel dan Austria masing-masing melaporkan empat kes Omicron, manakala dua dikesan di Brazil, Kanada, Denmark dan Jepun.

Satu kes dikesan di Sepanyol, Perancis, Belgium, Republik Czech dan Sweden.