JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mengarahkan sekolah berhampiran Sungai Kim Kim yang tercemar akibat pembuangan bahan kimia pada 7 Mac lalu ditutup sementara.
Menurutnya, sesi pembelajaran hanya boleh diteruskan selepas keadaan dipastikan selamat.
"Saya telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) agar memastikan sekolah-sekolah berhampiran sungai berkenaan ditutup sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk para pelajar dan guru meneruskan sesi pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kim Kim dah lama tercemar
Keputusan itu dibuat susulan pembukaan semula sekolah semalam namun selepas beberapa jam beberapa pelajar dan guru SK Pasir Putih serta SMK Pasir Putih dikejarkan ke hospital.
"Saya mengambil maklum insiden melibatkan pelajar-pelajar di SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih pagi tadi (semalam).
"Pada 7 Mac lalu JPBBD telah putuskan untuk membuka semula kedua-dua sekolah tersebut setelah membuat penilaian keselamatan dan mendapati keadaan udara di sekolah berkenaan selamat daripada sebarang unsur pencemaran bahan kimia yang berlaku minggu lalu.
"Bagaimanapun kejadian pagi tadi adalah sesuatu yang diluar jangkaan dan amat dikesali," katanya.
Mengulas lanjut katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
"Ini bagi memastikan keadaan persekitaran dan kualiti udara selamat daripada sebarang bentuk pencemaran bahan kimia serta mengenalpasti punca pencemaran agar kejadian ini tidak berulang.
"Saya juga dimaklumkan bahawa tiga orang suspek yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim telah ditahan oleh pihak berkuasa dan akan didakwa dalam masa terdekat," katanya.
Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang bahan kimia ke sungai sehingga menjejaskan alam sekitar dan penduduk setempat.
Khamis lalu, dua sekolah tersebut diarah tutup sementara selepas mendapati ada pelajar dan gurunya yang pengsan dan muntah-muntah akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.
Sekolah kemudiannya dibuka kembali semalam selepas didapati keadaan selamat namun selepas beberapa jam ada pelajar serta guru terpaksa dikejarkan ke hospital.