PADANG TERAP - Sebanyak 2,000 pusat pemprosesan getah krip akan dibangunkan untuk membantu mempertingkatkan tahap sosioekonomi 459,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 100 pusat akan dibina di Kedah.
Katanya, sebagai permulaan sebanyak 10 pusat akan dibina di negeri ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 juta.
"Selebihnya kita akan bangunkan pada tahun 2022 mengikut jumlah peruntukan yang diluluskan," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS) Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai di sini pada Rabu.
Menurutnya, peruntukan yang diperlukan bagi setiap pusat terbabit adalah sebanyak RM500,000 untuk menampung kos mesin dan infrastruktur berkaitan.
"Mesin berkenaan berharga RM300,000 dan selebihnya untuk kos tempat dan infrastruktur, jadi semua sekali kita anggarkan bernilai RM600,000.
"Insya-ALLAH pembangunan pusat ini akan membantu meningkatkan pendapatan penoreh daripada RM1,200 kepada RM2,000 sebulan.
"Dengan adanya pusat ini, penoreh tidak perlu menggunakan khidmat orang tengah lagi, daripada krip mereka boleh terus hantar ke kilang pembuatan barangan," katanya.
Zuraida menambah, pusat itu juga akan diuruskan oleh koperasi supaya hasil yang diperoleh dapat dikembangkan untuk pembangunan pekebun kecil.
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, proses membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit akan dilakukan secepat mungkin bagi memenuhi permintaan sektor berkenaan.
"Insya-ALLAH, tahun depan kita akan bawa masuk pekerja asing kalau keadaan semua sesuai dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benarkan.
"Selain itu, dulu sebelum COVID-19 ada syarikat yang sudah bayar levi pekerja asing itu pun belum masuk. Saya ingat ada dalam 20,000 orang," katanya.