RANTAU PANJANG - Yayasan Raja Shamri membelanjakan RM5 juta untuk membantu golongan susah dan tidak berkemampuan serta terkesan akibat Covid-19 di seluruh negara bagi tahun ini.
Pengerusinya, Raja Shamri Raja Hussin berkata, kesemua perbelanjaan itu adalah hasil sumbangan yang disalurkan oleh orang ramai kepada pihak yayasan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
"Untuk itu, Yayasan Raja Shamri mewujudkan 10 kluster agihan bagi memastikan gerak kerja berjalan dengan lancar selari dengan hasrat para penyumbang," katanya kepada pemberita selepas turun padang melawat pemuda orang kelainan upaya (OKU) Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 21, di Kampung Tok Pelanduk, di sini pada Ahad.
Dalam kunjungan itu, Raja Shamri menyampaikan sumbangan motosikal untuk kegunaan Muhammad Hakimi Abdullah, 19, pelajar semester tiga, Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu di sini yang sanggup berkorban menjaga abangnya yang OKU iaitu lumpuh dan cacat sejak kecil.
Selain itu, Yayasan Raja Shamri akan menyediakan sebuah tandas lebih selesa untuk kegunaan Muhammad Khairul Anuar dan membina sebuah bilik untuk keluargaa berkenaan.
Menurutnya, jumlah peruntukan dibelanjakan itu merangkumi bantuan pendidikan; pek makanan untuk mangsa Covid-19, bantuan pelitup muka, perubatan untuk pesakit Covid-19 dan asnaf.
Beliau berkata, ia turut melibatkan kluster pembangunan ummah yang merangkumi bantuan untuk pelajar pondok; pembinaan tahfiz dan masjid.
Raja Shamri berkata, bantuan itu diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang menerima sumbangan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Raja Shamri berkata, kenaikan harga barangan binaan memberikan kesan kepada pihaknya untuk membantu golongan yang memerlukan rumah.
"Dulu dengan nilai RM20,000 sudah mampu menyiapkan sebuah rumah, namun sekarang tidak lagi. Pembinaan rumah yang dibuat tidak berasaskan keuntungan, ia lebih kepada bantuan.
"Jadi bila harga bahan binaan naik, kami turut terkesan kerana kita tidak mempunyai dana yang tetap untuk projek pembinaan rumah," katanya.