Abdul Fattah dilantik Naib Presiden ICA-AP

Iklan
Abdul Fattah

SHAH ALAM - Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merangkap Presiden Asean Co-operative Organization (ACO), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah telah dipilih sebagai Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Rantau Asia Pasifik (ICA-AP) bagi penggal 2022-2026.

Angkasa dalam satu kenyataan berkata, pemilihan tersebut dilakukan melalui pengundian yang dijalankan secara Electronic Voting System (EVS) pada Perhimpunan Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa bagi Asia Pasifik (ICA-AP) ke-15 yang dianjurkan secara hibrid di Korea.

Iklan
Iklan

"Abdul Fattah sebagai ahli lembaga ICA-AP menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden dan ahli lembaga ICA-AP mewakili Malaysia pada pemilihan tahun ini.

"Beliau merupakan calon Malaysia yang kedua dipilih sebagai Naib Presiden ICA-AP selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Iklan

"Beliau turut dipilih semula sebagai anggota lembaga ICA-AP dengan undian ketiga tertinggi daripada 12 calon anggota lembaga serantau untuk berkhidmat bagi tempoh empat tahun,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

Abdul Fattah (kanan) memberikan ucapan pada perhimpunan serantau ICA-AP ke-15 secara maya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pemilihan itu menunjukkan masyarakat antarabangsa percaya dengan kepimpinan gerakan koperasi di Malaysia yang dilihat progresif, sistematik dan berdaya maju.

Iklan

"Melalui mandat yang diberikan ini, Angkasa akan memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama strategik antara negara dan meneroka sektor baharu yang boleh disertai oleh gerakan koperasi negara,” katanya.

Beliau berkata, potensi pasaran produk dan perkhidmatan di rantau ini amat besar.

"Koperasi yang berpotensi untuk meluaskan pasaran perlu bersama Angkasa untuk mengatur strategi dan membuat perancangan yang teliti supaya usaha menembusi pasaran luar negara dengan lebih agresif dapat direalisasikan.

"Angkasa sedia membantu koperasi untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mencapai piawaian dan standard yang boleh dipasarkan ke pasaran antarabangsa.

"Sebagai Naib Presiden ICA-AP dan juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP, saya akan berkhidmat sebaik mungkin untuk membawa suara gerakan koperasi negara di peringkat global menerusi platform Asia Pasifik dan ASEAN Co-operative Organization (ACO),” katanya.

Beliau juga berkeyakinan gerakan koperasi akan dapat bergerak seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) serta agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang bukan sahaja memakmurkan sosioekonomi anggotanya malah kepada masyarakat secara keseluruhan.

Perhimpunan serantau ICA-AP ke-15 membuka tirai penganjurannya pada 28 November 2021 secara hibrid di Seoul, Korea Selatan.

Sebanyak 11 agenda telah dibentangkan pada perhimpunan kali ini antaranya adalah pengesahan minit perhimpunan ke-14, laporan kewangan untuk tahun 2020, situasi keahlian semasa dan laporan daripada jawatankuasa sektor.

Program peringkat jawatankuasa dijalankan selama dua hari pada 28 hingga 29 November 2021 manakala pemilihan anggota lembaga berlangsung pada 30 November 2021.