KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan selepas kereta dipandu melanggar dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Cherang di sini pada Rabu.
Kejadian berlaku jam 1.40 petang itu mengorbankan Rakiah@Zainun Jusoh, 72, yang cedera parah pada bahagian dada.
Dua lagi pemandu kenderaan lain iaitu lelaki berusia 34 tahun yang memandu van jenis Datsun dan wanita berusia 31 tahun memandu kereta jenis Toyota Vios, tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu van Datsun dan kereta Toyota Vios memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat berwarna merah.
"Kedua-dua kenderaan dari arah Paya Rambai masing-masing berhenti di lorong kiri dan kanan jalan memandangkan lampu isyarat merah dan menunggu lampu hijau untuk meneruskan perjalanan.
"Secara tiba-tiba, sebuah kereta, Proton Pesona yang dipandu wanita warga emas tersebut datang dari arah belakang laluan sama bergerak agak laju dan melanggar bahagian belakang kedua-dua kenderaan itu.
"Akibat kemalangan tersebut, warga emas itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang tiba di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati mangsa yang beralamat di Taman Che Siti Wan Kembang tidak bekerja.
"Punca kemalangan dipercayai mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh bahagian belakang sebuah van dan sebuah kereta setibanya di persimpangan lampu isyarat Cherang.
"Siasatan lanjut diteruskan dan sesiapa yang menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat,” katanya.