KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Istana Negara.
Istana Negara dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pada sesi menghadap tersebut, Noraini telah mempersembahkan Watikah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada Seri Paduka Baginda.
Turut berangkat dan menyaksikan penyerahan watikah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga merupakan Tuanku Canselor universiti tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Rektor KUIPSAS, Profesor Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Dalam pada itu, pada sesi berasingan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Md Johari Hasan. - Bernama