IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) melarang 11 ahli gabungan yang digugurkan keahliannya menggunakan nama badan induk sukan itu untuk mengadakan kongres luar biasa (EGM).
Naib Presiden PAFA, Datuk Seri G Irudianathan berkata, satu laporan polis dibuat ekoran menerima notis daripada Jawatankuasa Penyelaras Kongres Luar Biasa pada Selasa yang menggunakan nama persatuan itu untuk melaksanakan EGM pada 19 Disember ini.
Menurutnya, kesemua ahli terbabit telah hilang kelayakan dalam membuat keputusan membabitkan PAFA.
"Untuk makluman, mereka yang digugurkan keahlian hilang kelayakan dan tiada hak lagi untuk membuat sebarang keputusan selaku ahli gabungan.
"Notis ini menggunakan nama PAFA dan kita membuat laporan polis supaya nama persatuan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya malah, tindakan undang-undang boleh diambil," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PAFA, di sini pada Rabu.
Irudianathan berkata, laporan dibuat menerusi Pegawai Undang-undang PAFA, Muhammad Syafin Shahrunnazri di Balai Polis Kampung Simee, di sini.
Pada 23 November lalu, Pemangku Presiden PAFA, Datuk Mohammad Yadzan Mohamed dilapor akan menggugurkan keahlian 11 ahli gabungan yang merancang mengadakan EGM dalam masa terdekat secara serta-merta.
Mereka adalah Persatuan Bola Sepak (PB) Perak Tengah, Tapah, Kampar, Gerik, Lenggong, Hulu Perak, Kampung Gajah, Ipoh, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Kerian dan PB Melayu Perak.
Hilir Perak bagaimanapun tidak menjadi ahli gabungan Melayu Perak, oleh yang demikian mereka tidak dipecat.
Kini PAFA hanya mempunyai tujuh ahli gabungan iaitu Majlis India Perak, Teluk Intan, Bagan Datuk, Pengkalan Hulu, Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Batu Gajah.
Tindakan memecat ahli gabungan itu diambil kerana berlaku pelanggaran Perlembagaan Artikel 80 berhubung keahlian yang mana mengikut peraturan itu, tiada ahli gabungan boleh menjadi ahli kepada dua persatuan.
Sementara itu, Irudianathan yang memangku tugas setiausaha persatuan itu berkata, PAFA sudah mencapai persetujuan dengan Impact Media
Communications Sdn Bhd (IMC) untuk memiliki sepenuhnya saham Perak FC.
"IMC berjanji akan mengambil alih 100 peratus saham PAFA dan bersetuju untuk menyelesaikan semua isu mengenai gaji pemain.
"Satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani antara satu atau dua hari lagi. PAFA beri mandat 100 peratus penjualan saham kepada IMC dan diharapkan IMC dapat membuat sesuatu yang baik," katanya.