ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa diwakili golongan profesional dalam perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji dan memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana pihaknya menerima aduan berkaitan premium insurans kesihatan yang melambung tinggi akibat berlaku peningkatan dalam bayaran perubatan yang dikenakan oleh hospital swasta.
Menurutnya, kos perkhidmatan kesihatan swasta didakwa antara punca berlakunya peningkatan premium insurans kesihatan.
"KKM perlu menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Menurut Laporan Tahunan Bank Negara (BNM) 2019, tuntutan insurans kesihatan perubatan (MHI) berkembang 11.6 peratus setahun antara 2016 dan 2019.
"Ia menyatakan ‘peningkatan tuntutan terus mendahului peningkatan dalam premium’ yang berkembang secara purata 9.5 peratus setahun,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.
Mohideen berkata, berdasarkan tinjauan global trend perubatan 2019, Malaysia berada di kedudukan antara tertinggi di Asia Tenggara berkaitan kos perubatan.
"Akan tiba masanya orang ramai tidak lagi mampu untuk membayar insurans kesihatan dan pemegang polisi sedia ada mungkin membiarkan polisi luput.
"Dilaporkan 80 peratus masyarakat mendapatkan rawatan di kemudahan perubatan awam manakala bilangan pesakit yang memilih hospital swasta telah menurun kepada 70 hingga 80 peratus pada tahun lepas,” katanya.
Menurutnya, senario itu tidak memberikan manfaat kepada negara memandangkan hospital swasta akan mengalami kemerosotan bilangan pesakit berikutan orang ramai tidak lagi mampu mendapatkan rawatan di sana, manakala kemudahan penjagaan kesihatan awam pula berlaku kesesakan.
"Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan hanya 22 peratus penduduk dilindungi Insurans Kesihatan Diri. Majoriti bergantung kepada hospital awam bagi rawatan perubatan.
"NHMS 2019 juga mendedahkan 81.4 peratus isi rumah menggunakan pendapatan semasa untuk bayar perkhidmatan kesihatan, hanya 8.1 peratus menggunakan bayaran balik insurans. Wang yang dipinjam daripada keluarga dan rakan sebanyak 10.9 peratus,” katanya lagi.
Mohideen memaklumkan, perkhidmatan dan bekalan hospital swasta terdiri daripada barangan seperti pengimejan dan ujian makmal, ubatan, rawatan dan peralatan perubatan tidak berada dalam skop garis panduan berkaitan yuran profesional seperti termaktub dalam ‘Medical Procedures and Services Nomenclature (MPSN) and Relative Values’.
"Laporan Tahunan BNM 2019 menyatakan ‘analisis data tuntutan insurans 2013 hingga 2018 menunjukkan perkhidmatan dan bekalan hospital membentuk komponen terbesar kos tuntutan dan salah satu faktor utama yang mendorong peningkatan caj hospital’. Secara purata melebihi 50 peratus berbanding bil perubatan,” katanya.
Menurutnya, pada Oktober 2019, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) sempena Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYHT) 2020.
"CAP percaya peningkatan kos rawatan di hospital swasta adalah akibat daripada promosi pelancongan perubatan. Keutamaan perlu diberikan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan awam, bukan membantu hospital swasta maksimumkan keuntungan dengan merawat pelancong asing.
"Keutamaan perlu diberikan kepada penjagaan kesihatan awam yang lebih baik dengan menaik taraf perkhidmatan di hospital awam,” katanya.
Tambah beliau, pada masa sama, rakyat hendaklah berusaha menurunkan kos kesihatan dalam jangka panjang dengan mencegah penyakit, khususnya tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan kanser.
"Lakukan senaman, kekalkan diet seimbang, berhenti merokok, elakkan minuman dan makanan bergula serta elakkan alkohol agar risiko dapat dikurangkan untuk menikmati kesihatan yang baik.
"Kerajaan mungkin perlu perkenalkan ‘cukai dosa’ daripada minuman bergula, tembakau, alkohol dan judi untuk menggalakkan gaya hidup sihat,” tegasnya.
Mohideen berkata, dianggarkan 6.4 juta orang dewasa di Malaysia menghidap tekanan darah tinggi, diikuti 3.9 juta pesakit diabetes manakala lapan juta mengalami kolesterol tinggi.