PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) telah mencapai persetujuan bersama syarikat pengiklanan Impact Media & Communications Sdn Bhd (IMC) untuk memiliki sepenuhnya saham Perak FC.
Naib Presiden PAFA, Datuk Seri G Irudianathan berkata, IMC berjanji akan mengambil alih 100 peratus saham PAFA dan bersetuju untuk menyelesaikan semua isu berkaitan gaji pemain.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, satu memorandum akan ditandatangani antara PAFA bersama IMC pada sehari dua hari lagi.
"PAFA beri mandat 100 peratus penjualan saham kepada IMC dan diharapkan IMC dapat melakukan yang terbaik buat Perak FC.
"Maka selepas ini tiada berita atau cerita yang mengatakan ada syarikat-syarikat lain yang berminat ke atas pemilikan Perak FC," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Sementara itu, Irudianathan yang juga pemangku Setiausaha Kehormat PAFA berkata, pihaknya memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri iaitu dalam bentuk dana kewangan demi hala tuju baik PAFA
"PAFA perlu cari jalan untuk dapatkan dana, segala-galanya perlukan dana. Sekarang ini, PAFA juga mempunyai hutang sebanyak RM1.5 juta dan perlukan bantuan dana daripada kerajaan negeri," katanya. - Bernama