SHAH ALAM - Malam Wartawan Malaysia merupakan satu kejayaan dan indikator bahawa akhbar Sinar Harian kini berada sebagai media arus perdana utama di Malaysia.
Sinar Harian dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai iaitu kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2020 dan diangkat sebagai pemenang Hadiah Emas bagi Kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.
Pada masa sama, Sinar Harian turut memenangi tiga lagi kategori yang dipertandingkan iaitu Hadiah Perak bagi Dokumentari Video Terbaik, Hadiah Gangsa kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang dan Laporan Berita Cemerlang.
Bekas Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin pula menerima Anugerah Khas MPI.
Bagi Wartawan Jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli, pencapaian Anugerah Kajai merupakan satu kejayaan manis sebagai petugas media.
Menurutnya, laporan berita yang ditulis bukan sahaja membongkar kegiatan tidak baik, malah satu tanggungjawab kepada masyarakat untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang membuka mata semua pihak.
"Alhamdulillah, satu pencapaian yang tidak terjangka dalam kerjaya sebagai seorang wartawan.
"Pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang karier ini sudah tentu mematangkan diri untuk cuba menghasilkan yang terbaik. Anugerah ini akan menjadi pendorong dan motivasi kepada kita semua.
"Anugerah ini juga menunjukkan Sinar Harian adalah akhbar dan agensi media yang mampu bersaing dengan baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wartawan Sinar Premium, Nurul Riduan Nor Ashaha berkata, walaupun tidak merangkul Emas tetapi Hadiah Perak juga amat bermakna apabila Sinar Harian berdiri sebaris gergasi penyiaran TV seperti TV3 dan Bernama TV.
"Secara peribadi, saya menyertai anugerah ini sebanyak tiga kali. Buat kali pertama, saya merangkul satu Perak (Dokumentari Video Terbaik) dan dua Gangsa (Kewartawanan Multimedia Cemerlang dan Laporan Berita Cemerlang," katanya.