Celcom ambil alih Bridgenet

Iklan
Idham (kiri) bersama Kin Man pada majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan Bridgenet oleh Celcom yang diadakan pada Selasa.

SHAH ALAM - Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) dan keselamatan siber melalui pengambilalihan Bridgenet Solutions Sdn Bhd (Bridgenet).

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bridgenet Solutions Sdn Bhd, Keane Leong Kin Man, di ibu pejabat Celcom, di Petaling Jaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

Celcom dalam satu kenyataan berkata, pengambilalihan Bridgenet memperkukuh portfolio Celcom untuk menjadi salah satu penyedia bagi penyelesaian ICT terkemuka negara.

"Ia akan memacu dan menangani permintaan pendigitalan serta perkhidmatan pengkomputeran awanan yang semakin meningkat dalam kalangan perusahaan di Malaysia.

Iklan

"Gabungan kepakaran antara Celcom dan Bridgenet akan membolehkan penyediaan penyelesaian keselamatan siber yang inovatif, membawa transformasi yang penting dalam melindungi organisasi tempatan daripada sebarang ancaman siber dan pelanggaran keselamatan,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Bridgenet mempunyai sebuah pasukan pakar keselamatan siber bertauliah secara profesional yang akan melengkapkan serta meningkatkan lagi pasukan dan perkhidmatan keselamatan siber sedia ada di Celcom.

Iklan

"Pengambilalihan ini menjadikan Celcom sebagai Pembekal Perkhidmatan Keselamatan Terurus (MSSP) sepenuhnya," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Idham berkata, usaha mengambilalih Bridgenet akan memperkukuh kedudukan Celcom dalam meningkatkan perniagaan perusahaan.

"Pengambilalihan sebesar Bridgenet akan membolehkan kedua-dua syarikat untuk memanfaatkan kekuatan mereka dan membangun penyelesaian keselamatan siber bertaraf dunia bagi semua fungsi perniagaan.

"Keselamatan siber merupakan komponen penting dalam dunia digital bagi perusahaan dan pengguna. Celcom akan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan keselamatan siber ini untuk perusahaan tempatan tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Kin Man, pengambilalihan itu sebagai satu cara untuk memacu pelan hala tuju syarikatnya dengan kepakaran dan syarikat yang mempunyai sumber yang lebih besar seperti Celcom.