Chelsea bernasib baik dapat bawa keluar tiga mata dari Watford

Iklan
Tuchel

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel mengakui The Blues amat bernasib baik untuk melakar kemenangan 2-1 di Watford sekali gus mengekalkan status pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Aksi di Vicarage Road itu, menyaksikan Tuchel melakukan enam pertukaran terhadap skuad yang berdepan Manchester United sebelum ini, namun pelawat hanya mampu merobek gawang menerusi penyudah Mason Mount (29') dan Hakim Ziyech (72') bagi mengesahkan tiga mata The Blues.

Iklan
Iklan

Sementara itu, The Hornets yang mendapat gol sagu hati menerusi Emmanuel Bonaventure (43') disifatkan mampu melakar sekurang-kurangnya keputusan seri, namun dinafikan ketumpulan penyudah.

"Sebenarnya kami amat bernasib baik dan harus mengakuinya kerana para pemain tidak dapat mencapai tahap sebenar masing-masing. Sejujurnya para pemain tidak bersedia untuk perlawanan ini, sememangnya kami yang harus dipersalahkan kerana tidak pernah menemui sikap yang betul untuk perlawanan ini.

Iklan

"Ia menjadi lebih baik pada separuh masa kedua, itu pun selepas melepaskan banyak peluang pada separuh masa pertama dan tidak mencipta banyak percubaan.

"Ini dua situasi yang kami harungi di Watford. Ya, kami menjaringkan gol dan bernasib baik untuk keluar dari Vicarage Road dengan kemenangan," kata Tuchel.

Iklan

Pada masa sama Tuchel mengakui beberapa perubahan taktikal dalam perlawanan di laman lawan itu sukar diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh para pemain The Blues.

"Rasanya seperti kami tidak bersedia untuk bola hantaran jauh dan tekanan. Apabila kami memenangi bola, bagaimana untuk melepaskan diri daripada tekanan. Kami mempunyai masalah besar secara individu dan sebagai satu unit pasukan. Kami tidak pernah berasa mantap, rasanya seperti kami tidak pernah berada dalam situasi mengawal permainan," katanya.

Bagaimanapun Tuchel yang enggan memandang ke belakang lagi, menyifatkan tiga mata di Watford sebagai penting dalam melebarkan jurang mata dengan penyandang juara Manchester City dan Liverpool dalam perebutan kejuaraan.

"Kami memerlukan banyak mata jika mahu kekal dalam perebutan kejuaraan. Kami berasa seperti kehilangan dua mata menentang Burnley dan Manchester United.

"Kami mencuri sekurang-kurangnya dua, mungkin tiga hari ini, biarpun Watford berhak mendapat lebih banyak hari ini," ujarnya.

Menjelang perlawanan menentang West Ham United hujung minggu ini, Tuchel mengakui bimbang dengan status kecederaan Reece James yang terlepas aksi berdepan Watford.

"Saya tidak boleh nyatakan statunya hari ini. Semalam dia mengalami kesakitan untuk melakukan perjalanan. Dia mendapat kecederaan pada buku lali," kata Tuchel.