GEORGETOWN- Pulau Pinang masih belum menerima maklum balas berhubung status projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, surat permohonan rasmi Ketua Menteri bertarikh 19 Oktober 2020 kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai permohonan untuk membeli air mentah dengan harga yang berpatutan masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Menurutnya, selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar turut menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 10 Disember 2020 bagi menawarkan harga air mentah yang lebih tinggi dari sebelumnya atau bersamaan dengan kadar yang diguna pakai dalam perjanjian penjualan air mentah oleh Pahang kepada Selangor.
"Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang melaksanakan kajian mengenai keupayaan Sungai Perak untuk menampung keperluan air.
"Kerajaan negeri Perak mengambil maklum opsyen-opsyen yang dibentang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang seperti kadar air mentah yang lebih tinggi dan cadangan usahasama loji rawatan air Sungai Kerian.
"Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah melantik konsultan untuk kajian Penilaian Opsyen dan Pra-Rekabentuk Kejuruteraan SPRWTS. Kajian itu dijangka siap pada November tahun ini," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) mengenai status projek SPRWTS.
Menjawab soalan Choon Aik mengenai perancangan rawatan air mentah Sungai Perai dan Sungai Juru, Zairil berkata, perancangan untuk merawat air mentah Sungai Perai dan Sungai Juru adalah melalui Skim Bekalan Air Sungai Perai (SPWSS) yang bertujuan untuk memanfaatkan Sungai Perai sebagai sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang.
Bagaimanapun katanya, kajian kejuruteraan sebelum ini menunjukkan air mentah dari sungai itu mungkin tidak selamat dirawat dengan menggunakan teknologi rawatan air konvensional.
"Disebabkan perkara itu, SPWSS kemungkinan akan meneroka menggunakan teknologi rawatan air alternatif untuk merawat air mentah dengan selamat. Sungai Juru tidak dipertimbangkan sebagai sumber air mentah kerana kualiti dan kuantiti air mentah berada pada tahap tidak memuaskan.
"Pihak Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) turut memaklumkan bahawa kerajaan Pulau Pinang sedang melihat potensi Sungai Perai sebagai sumber alternatif bekalan air mentah bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
"Walaupun kapasiti air Sungai Perai tidak mampu memenuhi keperluan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya, namun ia mampu menjadi sumber bekalan air mentah tambahan bagi Pulau Pinang pada masa akan datang," katanya.