BIARPUN tewas 1-2 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park pada Khamis, pengendali Aston Villa, Steven Gerrard tetap berpuas hati apabila menyaksikan skuad kendaliannya itu tidak memberikan laluan mudah kepada pelawat.
Katanya, setelah ketinggalan dua gol, kesebelasan pemain Aston Villa dilihat tidak berputus asa untuk terus mengasak ke gawang The Citizens, hingga akhirnya berjaya merapatkan jurang gol.
"Kita agak hampir untuk mencatatkan sesuatu kali ini dan ini boleh dilihat pada aksi yang dipamerkan pemain pada separuh masa kedua. Ia benar-benar hebat!
"Kita telah mulakan perlawanan dengan terlalu menghormati pihak lawan (City) hingga kita memerlukan 15 minit untuk ‘berada’ dalam permainan.
"Selepas rehat, kita menjadi lebih positif dan lebih percayakan diri sendiri dan ia menghasilkan aksi yang hebat pada separuh masa kedua,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pemain City, Ruben Dias membuka jaringan pada minit ke-27 sebelum Bernardo Silva menambah jaringan pada minit ke-43.
Bagaimanapun, Ollie Watkins berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-47, namun ia dilihat masih belum mencukupi untuk menyekat kemenangan City.
Kemenangan itu menyaksikan City meneruskan cengkaman pada tangga kedua carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 32 mata, satu mata di belakang, pendahulu Chelsea, manakala Villa berada pada kedudukan ke-13 dengan 16 mata setakat ini.
Sementara itu Gerrard menyifatkan aksi berdepan pasukan berkualiti seperti City bakal memberikan banyak manfaat kepada Villa pada masa hadapan.
"Kita memang perlukan perlawanan dengan pasukan-pasukan handalan seperti ini kerana ia akan menjadi ‘ujian sebenar’ dan mengukur sejauh mana kemampuan kita,” katanya.