DPMM cadang lima langkah tangani krisis ekonomi, bantu PMKS

Iklan
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan lima langkah yang boleh diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menangani krisis ekonomi dan membantu rakyat khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). - Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan lima langkah yang boleh diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menangani krisis ekonomi dan membantu rakyat khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Presidennya, Dr Abd Halim Husin berkata, DPMM berharap agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata tetapi penguatkuasaan yang lebih telus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, LHDN telah mengambil langkah proaktif menangani krisis yang telah menjejaskan kelangsungan para usahawan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, khususnya dalam kalangan PMKS Melayu dan bumiputera.

"Langkah- langkah yang lebih pragmatik perlu diambil bagi menormalisasikan semua kehidupan masyarakat, antara langkah pertama adalah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Iklan

"Bantuan tersebut seharusnya dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.

"Langkah kedua, semua bentuk premis termasuk premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium diberi penangguhan bayaran sewa dan tiada tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Abd Halim berkata, langkah ketiga adalah dengan pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan untuk sektor PMKS serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk panggilan serta penggunaan internet tanpa wayar.

Seterusnya, katanya, langkah keempat dengan memastikan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka, khususnya dana yang disalurkan dari kerajaan atau lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit.

"Bank Negara perlu memastikan indeks prestasi utama (KPI) atau skala pematuhan yang berlainan khususnya bagi menangani suasana ekonomi yang getir atau ketika fasa pemulihan berkuat kuasa.

"Langkah kelima, menyediakan dana pusingan atau ‘revolving fund’ untuk pemulihan serta pembangunan PMKS bumiputera yang akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kewangan (melalui Teraju) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi bumiputera sebagaimana kejayaan pelaksanaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 bagi menangani krisis ekonomi,” ujarnya.