KUALA LUMPUR - Harga racun serangga meningkat sehingga 199 peratus iaitu RM66 kepada RM197.50, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, selain itu harga racun kulat juga mencatatkan peningkatan 20.77 peratus; racun siput hampir 20 peratus; baja sebatian Tiara Blue sebanyak 19.4 peratus; Agrobridge 19.1 peratus; dan NPK Blue 14.5 peratus.
"Memang benar kenaikan yang ketara ini berlaku, disebabkan oleh harga pasaran dunia yang di luar kawalan MAFI dan ini memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani.
"...(Sebagai) alternatif, langkah yang perlu diambil oleh kerajaan, MAFI menggalakkan pengurangan kebergantungan kepada baja kimia, kita menggalakkan petani untuk beralih kepada pertanian organik umpamanya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kaedah alternatif dalam mengurangkan dan usaha jangka panjang menghapuskan penggunaan baja dan racun sintetik tanpa menjejaskan produktiviti, malah meningkatkan hasil pengeluaran.
Ronald berkata, antara langkah yang diambil termasuk pengaplikasian teknologi efektif mikroorganisma (EM), menggalakkan penggunaan semula bahan sisa pertanian seperti pereputan jerami padi, baja organik serta memperkenalkan penggunaan sisa pertanian jerami padi sebagai medium tanaman.
"Namun, ini adalah langkah jangka panjang dan kita masih tidak dapat lari daripada kebergantungan penggunaan baja kimia dan cara pertanian konvensional yang diamalkan petani di negara kita," katanya. - Bernama