SETELAH setahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan (KPM)-MSSM-MILO 2019 kembali mengiktiraf kecemerlangan atlet murid serta jasa dan sumbangan guru dan jurulatih.
Dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun berkenaan, terdapat 13 kategori dipertandingkan, termasuk Anugerah Emas.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam ucapan perasmiannya berkata, peranan sukan amat penting dalam memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"KPM merupakan antara kementerian yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Dasar Sukan Negara. Usaha ini disokong dengan penubuhan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri.
"Penubuhan sekolah sukan ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai murid yang berbakat di seluruh negara mendapat latihan serta bimbingan yang lebih bersistematik, sehingga berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan (KPM)-MSSM-MILO 2019 yang dibuat secara maya.
Sementara itu, MILO selaku peneraju pembangunan sukan akar umbi di Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai rakan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dalam menjayakan anugerah itu sejak tahun 1973 bagi mencungkil bakat baharu dan memartabatkan warisan sukan negara.
Pegawai Eksekutif Perniagaan - Unit Perniagaan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad Ng Su Yen, berkata, sukan bukan sahaja dapat membina daya saing sewaktu bertanding, malah membentuk keperibadian seseorang untuk berjaya dalam hidup dengan memupuk nilai-nilai murni seperti kesungguhan, keberanian dan kecekalan.
Justeru katanya, atlet-atlet muda harus diberikan sokongan padu dan akses kepada latihan, tunjuk ajar, bimbingan, bantuan, motivasi serta peluang untuk mempelajari serta memanfaatkan nilai-nilai murni ini demi mencapai potensi terbaik mereka.
Antara pemenang yang mencuri perhatian dalam edisi Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO kali ini adalah penerima Anugerah Emas, Izzah Amzan yang juga ratu gimrama negara yang sedang melonjak naik.
Berbeza dengan kategori yang lain, Anugerah Emas hanya dikhaskan untuk atlet murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan dan akademik serta tidak semestinya disampaikan setiap tahun, sekali gus menjadikannya pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO.
Hanya segelintir atlet yang pernah diberikan menerima penghormatan ini, antaranya Datuk Nicol David, Datuk Pandelela Rinong, dan terkini, pemain skuasy remaja sensasi negara, Aifa Azman.
"Saya amat berbesar hati atas pengiktirafan ini yang menempatkan saya sebaris dengan idola-idola saya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPM, MILO, jurulatih dan guru-guru saya di Sekolah Sukan Bukit Jalil serta keluarga, rakan-rakan dan para penyokong yang berada di sisi saya sewaktu susah mahupun senang.
"Sokongan dan kepercayaan anda pemangkin kejayaan saya. Namun, masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan capai, dan anugerah ini merupakan pembakar semangat dan motivasi yang diperlukan untuk meneruskan perjalanan saya,” katanya.
Selain itu, Anugerah Tunas Harapan Puteri dimenangi oleh Loo Yie Bing (Renang), Anugerah Tunas Harapan Putera dimenangi Wong Lee Hong (Skuasy) sementara Anugerah Pendidikan Khas Puteri, Siti Nor Insyirah Mohamad Ariffin (Olahraga) dan Anugerah Pendidikan Khas Putera, Jonah Chang Anak Rigan (Olahraga).
Anugerah Khas Puteri pula dimenangi kepada Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai), Anugerah Khas Putera, Mohammad Rifdean Masdor (Muay Thai); Anugerah Puteri, Iman Alisha Fakhri Yassin (Gimnastik Berirama); Anugerah Putera, Khiew Hoe Yean (Renang) dan Anugerah Guru Berjasa Wanita, Chang Siang Cheng (Olahraga).