Program Sekolah Amanah ubah mentaliti masyarakat

Iklan

[DIKEMAS KINI] Bergelar suri rumah tidak menjadi halangan buat Rokiah Yahya, 43, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Na Nuar, untuk bergiat aktif dalam menyokong aktiviti anjuran sekolah.

Penglibatannya secara langsung di peringkat sekolah dan komuniti menjadi inspirasi di kalangan ibu bapa untuk turut sama berganding bahu dalam menyokong proses kemenjadian murid.

Iklan
Iklan

Selaku Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kalong, beliau merupakan antara penggerak utama yang menyokong usaha mencapai matlamat strategik Program Sekolah Amanah (PSA) berdasarkan program transformasi yang dilaksanakan Yayasan Amir dengan tajaan dana Petronas di 10 buah sekolah di Terengganu.

Jelasnya, antara matlamat strategik PSA yang diterapkan ialah memantapkan pengurusan dan kepimpinan sekolah, meningkatkan kualiti pengajaran, memaksimumkan potensi murid dan memperkukuh penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti dan pihak berkepentingan lain.

Iklan

"Penglibatan secara langsung dengan projek sekolah ini bermula dengan pelbagai pendedahan kepada aktiviti PSA. Jadi, sebagai seorang ibu yang memiliki jiwa pendidik, saya teruja dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan ibu bapa turut sama bergiat aktif,” katanya.

Kak Na akui kepercayaan pihak sekolah kepada pihak PIBG dalam mengendalikan aktiviti sekolah menjadi antara faktor yang membezakan PSA dengan sekolah harian yang lain.

Iklan

"Sikap keterbukaan yang memberi peluang kepada ibu bapa untuk melibatkan diri, terutama untuk suri rumah seperti saya, membuatkan saya terharu.

"Saya amat berharap pengalaman saya dapat membantu pihak sekolah demi mencapai setiap matlamat strategik program.” jelasnya.

Kepuasan

Menurut Kak Na, inisiatif yang dimulakan pihak sekolah telah berkembang dalam komuniti. Ianya sekaligus memberi impak dari segi perubahan sikap dan mentaliti masyarakat setempat di daerah Kijal.

"Kebanyakan ahli komuniti kini sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan,” ujarnya yang terlibat secara langsung dengan PSA sejak 2018.

Mengulas mengenai penglibatannya sepanjang transformasi PSA dijalankan, Kak Na berkata, anak-anak pada mulanya berasa kekok atas perubahan ketara di sekolah.

Meskipun begitu, Kak Na optimis matlamat PSA mampu tercapai apabila potensi dalam diri anak-anak dapat digilap walaupun berasal dari sekolah luar bandar.

"Sikap ibu bapa terhadap anak-anak adalah cerminan masa depan. Keprihatinan ibu bapa terhadap aktiviti persekolahan akan melahirkan masyarakat yang sihat dan prihatin,” tegasnya.

Roslina

Impak

Berkenaan penglibatan ibu bapa dalam PSA, anak kepada Kak Na, Annur Najwa Maisarah Anuar, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, turut melihat keberkesanan program ini.

Jelas Annur Najwa, SMK Kijal juga terpilih bagi PSA pada tahun 2015. Perubahan dapat dilihat menerusi penyertaan ibu bapa yang terus komited dalam memberi sokongan. Bahkan ia turut membuka minat ibu bapa lain menyertai program yang dianjurkan.

"Usaha kreatif PIBG dan PIBKS ini memberi ruang buat ibu bapa dan komuniti setempat untuk melibatkan diri. Sebagai pelajar, saya menghargai kesungguhan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat ini untuk mewujudkan pembelajaran yang kondusif, ” katanya.

Sistematik

Sementara itu, Roslina Abu Samah, 49, salah seorang ahli jawatankuasa PSA di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kijal/Kerteh berkata sistem yang diterapkan melalui PSA menjadikan sekolah luar bandar dapat bersaing setaraf dengan sekolah di kawasan bandar.

Jelasnya, pentadbir dan guru akan mengambil kira pandangan secara keseluruhan dalam melaksanakan sesuatu program sehingga mampu menganjurkan pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Sistem yang perlu diamalkan dapat menjadikan setiap aktiviti yang dilaksanakan lebih teratur seterusnya meningkatkan prestasi murid itu sendiri.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini sebagai bekas Guru Besar SK Bukit Anak Dara yang juga terpilih bagi PSA, saya juga melihat bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran (PDP) dapat digunakan secara maksimum.

"Guru-guru juga diwajibkan mengamalkan aktiviti berkaitan dengan Pendidikan Abad ke-21 (PAK21), termasuk menggunakan kaedah terkini dengan metodologi yang lebih mudah difahami murid,” katanya.

Menurut mantan guru besar itu, pelbagai perubahan positif sekolah dapat dicapai terutama dalam peningkatan kehadiran murid sebelum pandemik dan juga peningkatan dalam tahap penguasaan kemahiran asas murid dalam semua subjek di sekolah.

"Ini membuktikan sekolah mempunyai wow factor dalam menarik minat murid bagi mengikuti PDP di sekolah. Sebagai pemimpin yang menerajui PSA, saya mengharapkan agar kemenjadian murid secara holistik tercapai dengan memaksimumkan potensi diri pelajar dalam semua aspek.

"Dalam pada itu, saya juga berharap agar PSA menjadi contoh kepada sekolah harian yang lain dalam setiap aspek kemenjadian,” katanya.

Program transformasi sekolah yang dilaksanakan Yayasan Amir dengan tajaan dana Petronas di Terengganu sehingga kini melibatkan 10 buah sekolah. Program yang bermula sejak tahun 2015 itu melibatkan lima buah sekolah dari daerah Kemaman iaitu SK Ibok, SK Telok Kalong, SK Bukit Anak Dara, SK Kijal dan SMK Kijal.

Program itu seterusnya diperluaskan pada tahun 2016 bagi lima sekolah di kawasan Marang iaitu SK Jerong, SK Wakaf Tapai, SK Pengkalan Berangan, SMK Pengkalan Berangan dan SMK Wakaf Tapai.

Usahasama ini juga selari dengan penyataan tujuan Petronas "Rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkat kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampandan juga komitmen Agenda Pembangunan Lestari Petronas.