Pendengaran kes saman ‘lawak rogol’ Ain dan guru, 8 Disember ini

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 4 Ogos lalu.

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan 8 Disember ini untuk pendengaran semula kes saman fitnah bekas guru jasmani terhadap pelajar Tingkatan Lima, Ain Husniza Saiful Nizam berhubung isu ‘lawak rogol’.

Ketika prosiding dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nur Syuhada Abdullah, mahkamah menetapkan tarikh itu untuk arahan selanjutnya.

Iklan
Iklan

Peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Ain Husniza berkata, mahkamah telah menetapkan tarikh singkat berkenaan untuk sebutan kes akan datang.

Beliau berkata, ia bagi mahkamah memutuskan sama ada pemfailan kes oleh guru terbabit, Khairul Nizam Sanuddin, 43, selaku plaintif terhadap anak guamnya berada dalam bidang kuasa mahkamah.

Iklan

"Arahan bagi pemfailan pembelaan telah ditangguhkan dan akan diberikan kepada mahkamah pada tarikh sama,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ain Husniza terima notis tuntutan RM1 juta

Iklan

Lebih 20 peguam tawar bantuan guaman kepada Ain Husniza

Sementara itu, peguam, Rasshidi Syed yang mewakili guru terbabit turut mengesahkan perkara berkenaan.

Menurutnya, tindakan lanjut akan dilaksanakan pada tarikh itu, ketika prosiding yang juga akan diadakan secara dalam talian.

Pada 26 November lalu, Khairul Nizam memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini melalui firma guaman, Tetuan Rasshidi Ema & Yung dengan menamakan Ain Husniza dan bapanya, Saiful Nizam, 42, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut penyataan tuntutan difailkan, Khairul Nizam yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah menengah pada 24 April lalu menyentuh subtopik 'Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual'.

Subtopik itu terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS).

Khairul Nizam yang mengajar selama 21 tahun di sekolah itu menyatakan, sepanjang proses pembelajaran itu, semua pelajar wajib membawa dan merujuk kepada buku teks PJK Tingkatan Lima.

Guru berkenaan bagaimanapun menafikan membuat lawak lucah atau lawak berkenaan rogol sepanjang sesi pembelajaran PJK itu serta tiada galakan kepada perlakuan rogol.

Malah katanya, ia adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman serta pengajaran.

Sebelum ini, media melaporkan guru tersebut yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol, tidak diambil tindakan lanjut oleh polis selepas selesai menjalankan siasatan.

Ain Husniza dan bapanya yang disaman guru terbabit dalam isu gurauan keterlaluan berkaitan perbuatan merogol, akan memfailkan tuntutan balas dengan diwakili oleh peguam, Datuk Sankara Nair.