RANTAU PANJANG - Kenderaan mewah menjadi pilihan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain selain dapat lolos daripada kawalan.
Perkara itu terbukti apabila Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan mewah jenis Toyota Alphrad dan Vellfire dalam dua operasi berasingan pada 29 November lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1 tengah hari, sepasukan anggota yang melakukan tugas bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terserempak dengan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.
"Kenderaan mewah itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulai Chondong menghala ke Machang dan anggota terlibat terus mengekorinya," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini pada Khamis.
Menurutnya, kenderaan itu terus memecut laju dan membelok ke jalan simpang kecil ke Kampung Mata Ayer selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Mat Shukor memberitahu, kenderaan itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan enjin masih hidup dan pemeriksaan menjumpai 1,950 karton rokok putih.
Mat Shukor berkata, pada masa sama, PGA telah menahan sebuah Toyota Vellfire ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang dinaiki empat lelaki dan dua wanita.
"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan. Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang pasportnya telah tamat tempoh.
"Seorang lagi lelaki warga Thailand tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya.
Menurutnya, selang dua jam selepas itu, PGA sekali menahan sebuah Toyota Alphard yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.
Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand yang mengemukakan dokumen perjalanan tamat tempoh.
Katanya, PGA akan terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mewah dalam mengekang aktiviti berkenaan.