Bajet 2022: Memulih kehidupan, ekonomi B40

Iklan

Kesan pandemik Covid-19 di Malaysia menyebabkan kadar kemiskinan di negara ini meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020, berbanding dengan 5.6 peratus pada tahun 2019.

Sebanyak 580,000 isi rumah dari golongan berpendapatan sederhana tergelincir ke dalam kategori 40 peratus terbawah (B40) akibat kemerosotan ekonomi.

Iklan
Iklan

Ia turut menjejaskan kira-kira 20 peratus kumpulan pertengahan 40 peratus (M40) yang sebelum ini menerima pendapatan bulanan antara RM4,850 hingga RM10,959.

Menyedari kesan besar pandemik, Bajet 2022 yang dibentangkan 29 Oktober lalu memberi fokus kepada strategi untuk memulih kehidupan dan mata pencarian rakyat.

Iklan

Pemberian bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasakan aspek pendidikan dan kesihatan awam serta menjana peluang-peluang pekerjaan menjadi fokus kerajaan.

Inisiatif bantuan tunai langsung ditambah baik dengan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) supaya kumpulan yang benar-benar terkesan akan diberi lebih tumpuan.

Iklan

Kerajaan juga berusaha untuk memastikan lebih ramai rakyat menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan peruntukan tambahan RM200 juta ringgit.

Secara keseluruhan, ia membabitkan peruntukan RM2.4 bilion bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440,000 isi rumah memerlukan.

Bajet 2022 secara keseluruhannya menyediakan pelbagai jenis bantuan, iaitu:

Bantuan Awal Persekolahan

Sebanyak RM150 bakal diterima 3 juta murid yang layak pada sesi tahun depan menerusi peruntukan RM450 juta. Penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan juga diteruskan dengan peruntukan RM400 juta.

PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Melalui inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, pelajar B40 di institusi pengajian tinggi dibekalkan sebuah tablet dengan peruntukan RM450 juta dan komitmen syarikat telekomunikasi kira-kira RM65 juta ringgit, bakal dimanfaatkan 600,000 mahasiswa.

Program Baucar Perlindungan Tenang

B40 yang layak turut menerima baucar RM75 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri. Baucar ini juga boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022 bagi memudahkan kumpulan B40 mencari rezeki menggunakan motosikal.

MySalam

Skim insurans perubatan khas untuk B40 juga telah diperluas, meliputi tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung dengan peruntukan keseluruhan RM50 juta. Skim ini akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima MySalam yang layak.

Kit asas kebersihan diri

Pemberian kepada 130,000 remaja wanita golongan B40 akan dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, membabitkan peruntukan RM10 juta.

Program Kasih Suri Keluarga Malaysia

Kerajaan menyediakan RM80 juta bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman ke KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.

Kerusi keselamatan kanak-kanak

Pemberian subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta turut disediakan. Sejumlah RM30 juta disediakan dan bakal memanfaatkan 188,000 keluarga B40.

REAKSI RAKYAT

Dinie Darwisyah

"Saya amat besyukur kerana keluarga saya juga mendapat Bantuan Keluarga Malaysia. Bantuan sebegini amat diperlukan untuk menampung keperluan keluarga dan diharapkan ia diteruskan dan ditambah.” - Dinie Darwisyah Ahmad Fariz, 20, Pelajar

Muhamad Safuan

"Saya amat bersyukur kerana kerajaan menaikkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150. Bantuan ini amat bermakna, apatah lagi saya mempunyai dua anak yang bersekolah rendah.” - Muhamad Safuan Md Salleh, 34, Kerani

"Inisiatif pelaksanaan skim insurans perubatan khas untuk B40 iaitu mySalam adalah bukti kerajaan mengambil berat tentang keperluan kesihatan dan kebajikan rakyat.” - Mesna Sakban, 60, Suri rumah

Nor Hayana

"Saya melihat langkah kerajaan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan adalah satu langkah baik demi pertumbuhan fizikal dan mental anak-anak. Mungkin peruntukan boleh ditambah untuk makanan berkhasiat juga.” - Nor Hayana Ismail, 40, Peniaga

Nureen Nazurah

"Program Baucar Perlindungan Tenang antara item menarik dalam Bajet 2022, yang membolehkan golongan B40 membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.” Nureen Nazurah Abd Rashid, 21 tahun, Pelajar

Nurirdina Safia

"Bantuan PerantiSiswa sememangnya dinanti-nantikan apatah lagi keperluan pembelajaran masa kini sudah berubah dan penggunaan tablet menjadi antara item wajib untuk golongan pelajar.” - Nurirdina Safia Azmi, 20, Pelajar

INFO GRAFIK: Manfaat Kepada B40

Bantuan Keluarga Malaysia

RM8.2 bilion, 9.6 juta penerima

Bantuan Awal Persekolahan

RM450 juta, 3 juta penerima

PerantiSiswa

RM450 juta, 600,000 penerima

Perlindungan Tenang

RM100 juta

Subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak

RM30 juta

Bantuan Kebajikan JKM

RM2.4 bilion

Rancangan Makanan Tambahan (RMT)

RM400 juta

Kit Asas Kebersihan Diri

RM10 juta, untuk remaja wanita B40

Kasih Suri

RM80 juta