BIMB, PTPTN tawar RM50,000 menerusi kempen 'Pay & Win with DD'

Iklan
Dari kiri: Mohd Muazzam, Ahmad Dasuki pada Majlis Pelancaran Kempen 'Pay & Win With DD' pada Khamis.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah bernilai RM50,000 menerusi kempen 'Pay & Win with DD (Direct Debit)'.

Kempen itu dianjurkan sebagai salah satu usaha bagi menghargai peminjam PTPTN yang membayar balik pinjaman pendidikan mereka secara konsisten.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kempen kali ini menawarkan hadiah tersebut kepada 41 orang pemenang.

Beliau berkata, pemenang utama akan memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai RM10,000 manakala hadiah sagu hati disediakan kepada 40 pemenang dengan setiap RM1,000 tertakluk kepada terma dan syarat.

Iklan

"Kempen 'Pay & Win with DD' ini menawarkan hadiah wang tunai berbentuk bayaran balik atau simpanan akaun Simpan SSPN Prime melalui cabutan kepada pemenang.

"Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran DirectDebit. Tempoh kempen adalah selama tiga bulan bermula 1 Disember ini hingga 28 Februari 2022,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kempen 'Pay & Win With DD' pada Khamis.

Iklan

Majlis disempurnakan Mohd Muazzam dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mohd Muazzam berkata, syarat kelayakan bagi pelanggan baharu ialah satu kelayakan cabutan bagi pendaftaran baharu DirectDebit yang berjaya melalui e-mandate dalam tempoh kempen dan satu kelayakan cabutan bagi setiap transaksi DirectDebit yng berjaya dalam tempoh kempen.

Bagi pelanggan sedia ada, katanya, satu kelayakan cabutan bagi setiap transaksi DirectDebit yang berjaya dalam tempoh kempen.

Beliau berkata, hadiah yang dimenangi akan dikreditkan ke dalam akaun pinjaman pemenang sebagai sebahagian daripada bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.

"Ini secara tidak langsung dapat membantu bayaran balik pinjaman mereka. Namun sekiranya jumlah baki pinjaman kurang daripada nilai hadiah yang dimenangi, nilai itu akan dikreditkan ke dalam akaun simpanan SSPN Prime mereka sebagai simpanan,” jelas beliau.

Mohd Muazzam berkata, kerjasama antara BIMB dan PTPTN telah lama terjalin terutama dalam menguruskan pinjaman kepada pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).

"Hasil kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan kolaboratif strategik iaitu pelaksanaan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah DirectDebit dan pelancaran kad Debit-i Bank Islam visa PTPTN 2018.

"Kolaboratif PTPTN, Bank Islam dan PayNet melalui kempen ini adalah bukti kesungguhan ketiga-tiga pihak dalam memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik dana pendidikan mereka dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian,” ujarnya.

Tambah Mohd Muazzam, BIMB juga turut menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2020 sebanyak RM50,000 kepada PTPTN sebagai inisiatif membantu 500 anak-anak golongan asnaf sekitar Kuala Lumpur dalam bentuk akaun simpan SSPN Prime yang disediakan oleh PTPTN.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, peminjam akan turut menikmati 10 peratus diskaun bagi mereka yang menyertai kempen tersebut.

"Untuk yang menyertai kempen ini mudah sahaja. Bagi peminjam yang belum membuat permohonan DirectDebit, anda hanya perlu membuat permohonan di portal rasmi PTPTN.

"PTPTN sentiasa merancang dan mengatur strategi serta program yang dapat membantu meningkatkan kesedaran peminjam agar membuat bayaran balik.

"Kemudahan tanpa tunai sentiasa menjadi keutamaan PTPTN untuk memudahkan peminjam membuat bayaran balik tanpa perlu hadir ke kaunter,” katanya.

Menurut Ahmad Dasuki, saluran DirectDebit itu sewajarnya dimanfaatkan oleh para peminjam untuk memastikan bayaran balik pinjaman dibuat secara konsisten.

"Melalui kemudahan ini, peminjam dapat memastikan rekod bayaran balik pinjaman adalah baik dan mengelakkan tunggakan, sekali gus turut membantu meningkatkan dana pinjaman bagi pemberian pinjaman kepada pelajar-pelajar baharu,” kata beliau.