IPOH - Mayat pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang turut terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Simpang Pulai di sini berjaya dibawa keluar.
Mangsa lelaki yang dipercayai berasal dari Klang, Selangor itu ditemukan sekitar jam 9.30 malam Khamis dan berjaya dibawa keluar kira-kira 20 minit kemudian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan daripada Gua Musang, Kelantan menuju ke Pulau Pinang.
"Hanya seorang mangsa terlibat dalam MPV tersebut. Setakat ini hanya dua kenderaan disahkan terlibat.
"Usaha mengeluarkan pemandu lori yang ditemukan kira-kira jam 8 malam masih diteruskan oleh pasukan penyelamat," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Mayat pertama ditemui
Kenderaan tertimbus runtuhan tanah di jalan Cameron Highlands