Selamat Hari Batik Malaysia

Iklan
Gambar hiasan.

MERAK Jalanan tumpang berbangga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia yang akan diraikan pada setiap tahun.

Berikutan pengisytiharan itu, penjawat awam digalakkan untuk mengenakan pakaian batik pada setiap Khamis.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kakitangan swasta atau sesiapa sahaja sekalipun boleh juga berbuat demikian untuk sama-sama meraikan keunikan seni tradisi kita sendiri.

Apatah lagi batik sememangnya mempunyai pesona yang tersendiri kepada si pemakai, baik lelaki mahupun wanita.

Iklan

Kalau dulu pemakaian batik sering dikaitkan dengan majlis-majlis rasmi sahaja tetapi seiring dengan peredaran masa, penggunaannya kini lebih meluas apabila ia dikomersialkan dengan pelbagai rekaan menarik yang sesuai digayakan dalam pelbagai acara.

Bila sebut Hari Batik Malaysia ini juga, Merak Jalanan teringat kepada Allahyarhamah Tun Endon Mahmood iaitu isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini giat menggerakkan pelbagai usaha untuk mempopularkan pemakaian batik dan membawa produk tersebut ke persada antarabangsa.

Iklan

Hari ini kita dapat lihat usaha tersebut semakin menunjukkan hasil positif dan diharapkan dengan pengisytiharan Hari Batik Malaysia ini dapat mengangkat seni batik tempatan pada tahap yang lebih tinggi.

Dalam masa sama, ia juga secara tidak langsung dapat merancakkan lagi industri batik tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang kreatif untuk turut sama menyumbangkan idea dan tenaga.

Kalau ikutkan, sejak dulu lagi Hari Batik Malaysia ini sepatutnya diraikan sebagai tanda apresiasi kita terhadap seni unik itu.

Batik adalah lambang identiti bangsa Melayu yang sememangnya patut dibanggakan dan diraikan sepanjang masa merentasi zaman.