Falsafah bola sepak Conte mula meresapi jiwa pemain Tottenham

Iklan
Antonio Conte

FALSAFAH bola sepak yang cuba diterapkan Antonio Conte kepada pasukannya Tottenham Hotspur nampaknya menjadi selepas pasukannya berjaya menewaskan Brentford 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Khamis.

Pengendali berbangsa Itali itu dikritik penyokong Spurs sejak tiba bagi menggantikan Nuno Espirito Santos, terutamanya selepas kekalahan memalukan kepada NS Mura di Slovenia pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

Pada perlawanan menentang Brentford, bekas pengurus Chelsea, itu menghabiskan hampir keseluruhan 90 minit menjelajah kawasan teknikalnya, menjerit arahan dan memberi isyarat kepada pemain dan mereka membalas dengan persembahan tempo tinggi yang penuh dengan disiplin pertahanan, kecekalan di bahagian tengah dan ancaman gol.

"Pemain mula memahami falsafah saya. Dengan permainan banyak dikuasai oleh kami, kami boleh melakukan lebih baik tetapi pada masa yang sama gol kedua benar-benar bagus.

Iklan

"Kami telah memulakan langkah baharu. Para pemain menunjukkan keinginan besar kepada saya mereka mahu untuk mengubah keadaan."katanya.

Pada perlawanan tersebut, Spurs berjaya membuka jaringan hasil gol sendiri Sergi Canos yang menampan masuk tandukan Ben Davies sebelum Son Heung Min menggandakan jaringan pada minit ke-65.

Iklan

Dalam pada itu Conte berkata, kemenangan pasukan Lilywhites itu turut berpunca daripada semangat tinggi anak buahnya yang mahu menebus kembali kekalahan kepada Mura.

"Hari ini kami menang, di Slovenia ia adalah kekalahan yang sangat teruk untuk semua orang. Saya fikir anda boleh belajar lebih banyak tentang kekalahan daripada kemenangan tetapi apa yang pasti kekalahan kepada Mura itu menyakitkan kami.

"Hari ini kami berjuang untuk memenangi terjahan dan kami sangat fokus pada perlawanan ini. Yang pasti kami boleh meningkat dan kami mempunyai banyak ruang untuk peningkatan dalam penguasaan bola," katanya.

Kemenangan tersebut menyaksikan Spurs naik ke tangga keenam hanya satu mata di belakang Arsenal dan dua di belakang West Ham United dengan baki satu perlawanan.