BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mengeluarkan Jordan dan Namibia daripada senarai negara yang dikenakan sekatan perjalanan Covid-19, selepas majlis itu menyemak semula peraturan perjalanan semasa pandemik.
Justeru itu, warga Jordan dan Namibia boleh melakukan perjalanan tidak penting ke negara EU.
Di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa mulai Khamis, penduduk dari Argentina, Australia, Bahrain, Kanada, Chile, Colombia, Indonesia, Kuwait, New Zealand, Peru, Rwanda, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu dan Uruguay boleh ke EU untuk tujuan tidak penting tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Perkara sama juga tertakluk kepada warga China, sekiranya Beijing memberikan hak yang sama kepada rakyat EU, lapor Agensi Anadolu.
Senarai perjalanan itu dikemas kini setiap dua minggu, memberikan akses ke 27 negara EU dan bukan ahli EU zon Schengen -- Iceland, Lichtenstein, Norway dan Switzerland.
Bagaimanapun, kerajaan EU boleh memilih sama ada untuk mematuhi syor itu atau sebaliknya, dan membenarkan pelawat dari negara lain serta menyekat kemasukan jika mereka tidak lengkap dos vaksin Covid-19.
Pada minggu lepas, Suruhanjaya Eropah mencadangkan anggota EU membuka sempadan mereka secara beransur-ansur kepada pengembara antarabangsa dan tidak mengambil kira status vaksinasi.
Andai negara anggota EU bersetuju, setiap individu yang menerima vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh memasuki blok itu untuk tujuan tidak penting mulai 10 Januari dan senarai negara akan dimansuhkan mulai 1 Mac.
Senarai vaksin WHO antaranya Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson, juga diluluskan oleh Agensi Ubat Eropah ialah Covishield, Covaxin, Sinopharm dan Sinovac.
EU mengenakan sekatan perjalanan pada Mac lepas untuk membendung penularan Covid-19.- Bernama