SHAH ALAM - Sebuah kolej matrikulasi di Negeri Sembilan tidak mahu pihak atasan pengurusan sekolah itu menyalahkan mereka apabila kes Covid-19 meningkat di sesebuah tempat pengajian.
Berdasarkan ciapan seorang pelajar, kolej matrikulasi tersebut didakwa mengarahkan pelajarnya berkumpul bagi mengikuti ceramah dan berdasarkan tangkap layar, dipercayai perjumpaan bersama Pengarah kolej matrik pada 17 November lepas.
"Sesuatu yang penting tengah berlaku dekat kolej matrikulasi. Penat hidup sebagai pelajar yang kena ikut cakap dan akhirnya disalahkan apabila kes Covid-19 naik.
"Sedangkan siapa yang beria buat ceramah ? Siapa yang beria suruh pelajar berkumpul ? Kami mahukan keadilan,” ciapnya di Twitter pada malam Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: 32 kes positif Covid-19 libat Kluster Intan Delima 2
Ciapan pelajar berkenaan kemudian tular di media sosial.
Dalam ciapan lain katanya, pihak pengurusan kolej matrik membenarkan aktiviti secara berkumpulan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Masa berkumpul kata tidak mengapa kalau tiada SOP sebab katanya macam adik-beradik. Tengok apa jadi sekarang, kes naik salahkan pelajar.
"Semua salah pelajar. Apabila bersuara, sebut adab sebagai pelajar. Adab sesama manusia bagaimana? Penutupan penuh tanpa beri masa, kemudian tengking pelajar yang masih tidak masuk bilik. Di mana akal kalian?
"Ada pelajar yang menempah makanan di Foodpanda, ibu bapa datang hantar barang semua kena halau. Habis itu pelajar nak makan apa untuk malam? Tidak berperikemanusiaan KMNS ini,” ciap pelajar berkenaan.