Pengurus besar mengaku tidak salah dapatkan suapan RM8,110

Iklan

TAWAU - Seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapatkan suapan sebanyak RM8,110 di Mahkamah Khas Rasuah Tawau, di sini, pada Jumaat.

Tertuduh Ahmad Rudi Ab Rashid, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, pada 26 Februari 2019 di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna, Semporna tertuduh sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E29 yang bertugas sebagai Pengurus Besar di Pertubuhan Peladang Kawasan Semporna telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu adalah untuk tertuduh sendiri dengan meluluskan Baucar Bayaran bernilai RM 8,110 kepada syarikat Pemborong Putramas yang dimiliki oleh Mohamad Sadeed Mohamad Said untuk bayaran penyediaan keperluan sempena lawatan mesyuarat seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018.

Iklan

Bagaimanapun, kerja-kerja itu telah dilakukan oleh tertuduh sendiri dan dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM8,000.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport serta dilarang mendekati saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan untuk pengurusan kes pada 24 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.