IPOH - Tragedi runtuhan tanah di laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang mengorbankan dua nyawa pada Khamis adalah di luar jangkaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali berkata, kawasan runtuhan di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu tidak termasuk dalam radar kawasan berisiko tinggi untuk mengalami tanah runtuh.
Menurutnya, berdasarkan rekod JKR, hanya terdapat tiga lokasi berisiko tinggi untuk kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan berkenaan iaitu di Seksyen 38 hingga 46.
"Sebelum ini memang ada satu pusat pemantauan cerun di Seksyen 44 untuk memantau cerun di tiga lokasi berisiko itu dan setakat ini semua kawasan terbabit adalah stabil.
"Ini kali pertama runtuhan tanah berlaku di Seksyen 27 dan sebenarnya kejadian sama sekali tidak dijangka kerana kawasan ini bukanlah kawasan berisiko tanah runtuh," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi runtuhan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, kekerapan dan taburan hujan yang tinggi iaitu 217 milimeter selama dua minggu di kawasan itu dikesan menjadi punca berlakunya runtuhan.
Katanya, hujan berterusan menyebabkan kelemahan kepada struktur tebing jalan hingga mengakibatkan runtuhan pada kadar tinggi iaitu melebihi 10,000 meter kiub tanah.
"Disebabkan volume tanah yang tinggi ini, dijangka kerja-kerja pembersihan mengambil masa sedikit iaitu dalam tempoh seminggu.
"Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, kemungkinan buka satu laluan dahulu untuk keselamatan pengguna jalan raya. Ini dituruti membuat pengurusan trafik di tapak tanah runtuhan sebagai makluman kepada pengguna apabila laluan dibuka nanti," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamdan berkata, pihaknya akan membuat pemantauan lanjut bersama pakar berhubung kestabilan cerun di kawasan itu dari semasa ke semasa.
Menurutnya, berdasarkan penialaian awal, keadaan cerun di kawasan sekitar runtuhan itu sebahagiannya stabil manakala sebahagiannya masih tidak selamat.
"Kami belum dapat kenalpasti lagi mana-mana kawasan yang aktif (risiko runtuhan) kerana masih dalam peringkat awal penilaian. Cumanya keadaan di sini adalah selamat untuk jalankan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, dua lelaki disahkan terkorban selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam runtuhan tanah.
Mangsa yang terkorban ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.