Tanam sayur di rumah bantu kurangkan kos

Iklan
Subbarow menunjukkan kaedah menanam sayur-sayuran di rumah.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan orang ramai untuk menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan beban kenaikan harga bahan makanan itu ketika ini.

Pegawai pendidikannya, N V Subbarow berkata, harga beberapa jenis sayur-sayuran dijangka meningkat dalam tempoh agak panjang memandangkan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran turut menganggarkan ia berterusan sehingga Tahun Baharu Cina depan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, menanam sayur-sayuran sendiri di rumah boleh menjimatkan kos dan pengguna boleh menanam jenis yang biasa dimakan dengan mudah.

"Kita tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran.

Iklan

"Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Subbarow berkata, barangan kegunaan di rumah seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk menanam tumbuhan yang mempunyai sistem akar lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

Iklan

Jelasnya, bagi tumbuhan yang mempunyai akar lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanaman.

Beliau berkata, pada masa ini CAP sedang mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan diperkaya dengan harga berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan aktiviti berkebun selain mengadakan latihan pertanian bandar kepada orang ramai.

"Memulakan taman di rumah sendiri sangat berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

"Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mendapat cahaya matahari,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-829 9511 atau 012-537 4899.