SHAH ALAM - Pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra yang tergendala akibat pandemik Covid-19 dijangka dapat disiapkan pada 31 Mei tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan jejambat itu sepatutnya siap September lalu namun tergendala disebabkan keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, antara kelewatan penyiapan jejambat di Bandar Saujana Putra disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana kerajaan semasa pandemik.
"Kontraktor juga mengalami kesukaran menjalankan kerja-kerja di tapak kerana perlu mematuhi SOP. Antaranya mendapatkan surat notifikasi beroperasi daripada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
"Kontraktor juga perlu mematuhi kapasiti pekerja dibenarkan dan memastikan pekerja lengkap dua dos vaksin,” katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lau Weng San (DAP - Banting) mengenai status pembangunan jejambat Bandar Saujana Putra yang mula dibina pada tahun 2019 itu.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kenaikan harga barang mentah serta kekurangan bekalan bahan binaan kerana kilang ditutup sepanjang PKP dan isu berkaitan pekerja perlu dikuarantin jika dijangkiti Covid-19 juga menjadi faktor kelewatan.
Beliau berkata, malah penggunaan cerucuk ‘bored pile’ yang tidak sesuai mengikut kondisi tanah dan perlu ditukar kepada cerucuk ‘spun pile’ juga menjadi punca jejambat berkenaan tidak dapat disiapkan mengikut perancangan.
"Setelah meneliti faktor-faktor kelewatan tersebut, Seribu Baiduri Sdn Bhd disyorkan oleh pihak konsultan telah meluluskan lanjutan masa (EOT) No.1 selama 243 hari dan tarikh siap terbaharu (EOT No.1) dijangka pada 31 Mei 2022,” katanya.