'Mengadu penat, arwah mahu berhenti kerja' - Isteri

Iklan
Nor Shahida hadir ke HRPB bagi menuntut mayat suaminya sebaik selesai urusan bedah siasat pada Jumaat.

IPOH - Pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang terkorban dalam tragedi runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Khamis pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kerana kepenatan.

Isteri Allahyarham, Nor Shahida Saidin, 31, berkata, suaminya menjalani rutin kerja yang panjang kerana hampir setiap hari perlu berulang-alik dari kediaman mereka di Tanjung Piandang, Kuala Kurau ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tempoh perjalanan yang jauh itu menyebabkan arwah selalu mengadu keletihan dan sakit-sakit badan.

"Dalam perbualan kami baru-baru ini dia ada kata nak berhenti daripada kerja sekarang dan nak memandu treler sahaja.

Iklan

"Kerja sekarang dia perlu ulang alik ke Cameron Highlands dan lepas itu hantar barang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, serta Alor Setar, Kedah, perjalanan jauh dan memenatkan.

"Kalau bawa treler, mungkin seminggu sekali baru dapat pulang, cuma terpaksa berjauhan dengan anak-anak dan saya sahaja," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat.

Iklan

Nor Shahida yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, suaminya keluar rumah awal pagi pada Khamis dan sempat memberi ciuman kepada dua anak mereka, Nurhannan Fitrysha, 3, dan Muhammad Hafiy Fahri yang baru berusia tujuh bulan.

Katanya, ketika meninggalkan rumah, arwah juga menitipkan pesanan bahawa dia akan kembali ke rumah selepas kerja.

"Semasa kawan suami maklumkan kejadian itu, saya masih tidak percaya dan nak tunggu maklumat lain.

"Sehinggalah majikan suami hubungi saya dan maklumkan lori dipandu arwah berada di bawah runtuhan itu, barulah saya percaya. Saya hanya terdiam," katanya.

Jenazah Muhammad Hafiz dikebumikan di kampung halamannya di Tanjung Piandang pada Jumaat.

Runtuhan tanah di laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley sekitar jam 1.30 petang itu telah mengorbankan dua lelaki selepas kenderaan mereka tertimbus dalam runtuhan tanah.

Selain Muhammad Hafiz, seorang lagi mangsa merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.