BEBERAPA pemain senior yang pernah beraksi pada saingan Piala AFF menjadi taruhan bagi membimbing muka baharu dalam membawa cabaran skuad Harimau Malaya pada kempen kali ini yang akan berlangsung di Singapura bermula Ahad.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, khidmat pemain senior seperti kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat sentiasa ditagih dalam memberi tunjuk ajar seterusnya menyuntik motivasi pemain baharu sepanjang saingan itu.
"Saya harap beberapa pemain senior mampu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pemain baharu dan muka baharu pula dapat cipta keserasian bersama skuad kali ini.
"Apa yang penting senarai akhir 24 pemain yang dipilih ini mampu bekerja sebagai satu pasukan seterusnya memberi satu penanda aras baik buat pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum berlepas bersama pasukan ke Singapura pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berpendapat pasukan kali ini tidak jauh beza daripada skuad 2018 yang dikendalikannya hingga bergelar naib juara dan yakin kombinasi pemain lama dan baharu mampu menghadirkan keputusan positif.
Ditanya mengenai keputusan menggugurkan tonggak Kedah Darul Aman FC Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin daripada senarai akhir 24 pemain ke Singapura, Cheng Hoe memaklumkan pemain sayap itu masih kurang pengalaman dan berharap prestasinya akan menyerlah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) agar dapat dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.
Cheng Hoe sebelum ini kehilangan empat pemain yang terpilih dalam senarai awal 28 pemain iaitu dua tonggak tengah Kuala Lumpur City FC Kenny Pallraj dan Muhammad Akram Mahinan; penyerang Darren Lok (Petaling Jaya City FC) serta pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh (Johor Darul Ta’zim) yang disisihkan akibat kecederaan.
Pengendali berusia 53 tahun itu pada masa sama menjangkakan aksi sukar bakal dihadapi anak buahnya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Kemboja, Isnin ini.
"Kebiasaannya, perlawanan pertama dalam mana-mana pertandingan agak sukar kerana pemain baharu hendak mencari rentak serta momentum permainan ditambah pula dengan ketiadaan aksi pemanas badan yang dilihat sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pasukan sebelum kempen bermula,” katanya.
Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi pula mengakui persiapan skuad kebangsaan kali ini sedikit terjejas berikutan jadual padat Liga-M hingga menyaksikan kesemua barisan pemain dipanggil ke kem latihan baru-baru ini hanya dapat dikumpulkan selepas aksi final melibatkan KL City dan JDT pada Selasa lepas.
Namun, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan kekurangan itu bukanlah alasan buat pemain untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik di Singapura.
"Kita maklum beberapa pasukan mempunyai persiapan terbaik seperti Singapura dan Indonesia namun apa yang penting kita perlu bermain sebagai satu pasukan dan semangat ingin menang boleh bantu kita cipta kejutan nanti,” katanya.
Beliau juga menuntut pemain mencontohi semangat pemain KL City yang mengejutkan pasukan pilihan dan juara bertahan, JDT 2-0 dalam final Piala Malaysia kerana baginya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mencipta kejayaan sekiranya pemain mempunyai motivasi tinggi dalam sesuatu pertandingan.
Selepas aksi menentang Kemboja, Malaysia yang juga juara edisi 2010, akan meneruskan saingan bertemu Laos pada 9 Disember, diikuti Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) dalam misi mencapai sasaran mara ke akhir buat kali kedua berturut-turut. - Bernama
Senarai akhir 24 pemain Piala AFF 2020 di Singapura
1 Mohd Khairulazhan Mohd Khalid - Penjaga gol
2 Khairul Fahmi Che Mat - Penjaga gol
3 Kalamullah Al-Hafiz - Penjaga gol
4 Mohd Rizal Mohd Ghazali - Pertahanan
5 Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak - Pertahanan
6 Dion-Johan Cools - Pertahanan
7 Quentin Cheng - Pertahanan
8 Junior Eldstal - Pertahanan
9 Muhammad Syahmi Safari - Pertahanan
10 Dominic Tan - Pertahanan
11 Shahrul Mohd Saad - Pertahanan
12 Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar - Pertahanan
13 Muhammad Ariff Farhan Md Isa - Pertahanan
14 Muhammad Safawi Rasid - Tengah
15 Baddrol Bakhtiar - Tengah
16 Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi - Tengah
17 Mohamad Faisal Abdul Halim - Tengah
18 Arif Aiman Mohd Hanapi - Tengah
19 Muhammad Akhyar Abdul Rashid - Tengah
20 Muhammad Syafiq Ahmad - Tengah
21 R. Kogileswaran - Tengah
22 Guilherme De Paula Lucrecio - Penyerang
23 Luqman Hakim Shamsudin - Penyerang
24 Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi Penyerang - Bernama