PETALING JAYA - Kempen Selamatkan Harimau Malaya adalah satu daripada pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menerusi pencapaian tersebut, memorandum persefahaman ditandatangani antara kementeriannya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.
Beliau berkata, memorandum itu bertujuan memastikan Harimau Malaya yang menjadi simbol jata negara dan sinonim dengan pasukan kebangsaan itu tidak pupus daripada habitatnya.
"Hasrat utama untuk memeterai memorandum persefahaman antara KeTSA dengan FAM bertujuan mengukuhkan usaha konservasi Harimau Malaya melalui kempen Selamatkan Harimau Malaya," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum itu di Wisma FAM.
Pada majlis itu, Takiyuddin dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyaksikan memorandum yang ditandatangani antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung dengan FAM.
Sementara itu, Hamidin dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik yang ditandatangani hari ini akan menggiatkan usaha menyelamatkan spesies Harimau Malaya yang kian pupus.
"Harimau Malaya menjadi simbol pada jata negara yang melambangkan keberanian, kegagahan dan kekuatan. Dalam bola sepak pula ia gelaran bagi skuad kebangsaan.
"Maka kita tidak mahu simbol kegagahan dan sumber inspirasi pasukan kebangsaan lenyap ditelan waktu,” katanya.
Beliau berkata menerusi komitmen yang dimeterai hari ini, kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dalam konservasi mergastua dapat ditingkatkan. - Bernama