SHAH ALAM - Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan serentak pada Sabtu membabitkan 222 kawasan Parlimen di seluruh negara menawarkan harga barang keperluan harian antara 20 hingga 50 peratus lebih murah, berbanding tempat lain.
Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsuzaman Sulaiman berkata, ia bertujuan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Tambah beliau, ia juga secara tidak langsung membantu mengatasi isu kenaikan harga barangan secara mendadak sejak akhir-akhir ini.
"Seperti kita sedia maklum, kenaikan harga barang sekarang ini adalah disebabkan fenomena global di mana kenaikan berlaku apabila kita dalam keadaan pandemik.
"Jadi apa yang dipersetujui kerajaan, kita buat jualan ini. Sasaran kita di 222 kawasan Parlimen dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara pihak yang terlibat secara langsung dengan program Jualan Keluarga Malaysia itu adalah KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi swasta.
Menariknya mengenai program tersebut, Shamsuzaman berkata, kerajaan tidak akan mengenakan subsidi ke atas jualan.
"Maksudnya kerajaan akan membawa terus barangan dari ladang. Kemudian peruncit akan menjual berdasarkan harga dari ladang,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berharap agar lebih ramai pihak terlibat untuk memberikan tawaran istimewa itu kerana memahami masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.
"Inilah masanya kita memberikan pengorbanan dari segi sumbangan dan penglibatan untuk meringankan beban rakyat,” katanya.
Antara barangan yang ditawarkan pada program berkenaan ialah telur ayam, ikan segar, cili merah, bawang besar, sardin dan susu pekat manis.