Pasar air empangan hampir kritikal

Iklan
Jimmy meninjau empangan Upper Layang.

PASIR GUDANG - Empangan Upper Layang yang memberikan perkhidmatan air kepada penduduk di Pasir Gudang dan Timur Johor Bahru masih dapat bertahan selama kira-kira 69 hari, sebelum paras air sampai tahap kritikal.

Perkara itu dinyatakan oleh EXCO Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse selepas mengadakan lawatan rasmi di empangan Upper Layang dan juga Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya empangan Upper Layang dan LRA Sultan Iskandar merupakan LRA yang paling besar dari segi pengeluaran output di negeri ini, dengan pengeluaran semasa adalah 340 juta liter sehari (MLD)

"Ia memberi perkhidmatan air kepada hampir 600,000 penduduk di sekitar Pasir Gudang dan juga kawasan Timur Johor Bahru, khususnya Johor Jaya, Bandar Seri Alam dan Permas Jaya.

Iklan

"Berdasarkan kepada bacaan terkini 21.26 meter maknanya kita masih dapat bertahan 69 hari sebelum kita sampai tahap kritikal 16 meter,” katanya kepada pemberita pada sidang media di LRA Sultan Iskandar di sini hari ini.

Jimmy berkata, sebagai salah satu sumber air yang sangat penting terutama di kawasan Selatan Johor, kerajaan negeri tidak mahu berlakunya sebarang gangguan bekalan terutama dari LRA tersebut.

Iklan

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan mengenai tindakan yang boleh diambil sekiranya situasi penurunan paras air berterusan akibat cuaca panas dan kering.

"Sekiranya situasi terus merosot kerana cuaca kering dan panas yang tidak menentu ini, maka Kerajaan Johor ada ‘back up plan’. Kita boleh dapatkan air dari empangan Seluyut.

"Dan saya telah dimaklumkan kita boleh pam hampir 130 MLD, dari Seluyut untuk meringankan bebanan untuk empangan ini dan terus boleh digunakan untuk LRA. Jadi maknanya Kerajaan Johor kita sudah fikir untuk Upper Layang,” katanya.

Paras air dalam empangan dapat bertahan selama kira-kira 69 hari, sebelum tahap kritikal.

Beliau berkata, perancangan sama juga dilakukan di empangan Lebam susulan lawatannya ke lokasi tersebut pada dua minggu lalu.

"Sama juga di Lebam, kita boleh pam 30 MLD dari Seluyut ke Lebam sekiranya perlu. Dan kita memang dalam perancangan, kalau terpaksa, memang kita akan buat,” katanya.

Jimmy berkata, bacaan terkini LRA Lok Heng pula telah jatuh di bawah paras catuan iaitu 1.43 meter.

"Kalau di Lok Heng paras catuan adalah 1.5 meter, bacaan terkini adalah 1.43 meter. Maknanya kita tidak boleh elakkan daripada catuan untuk kawasan Lok Heng yang dijangka terpaksa bermula hujung minggu ini.

"Dan saya harap penduduk Lok Heng dan Johor boleh faham situasi begini bukannya atas kurang usaha Kerajaan Johor tapi kerana faktor cuaca yang amat luar biasa,” katanya.

Penurunan paras air berterusan akibat cuaca panas dan kering yang berlaku di negara ini.

ADUN Bukit Batu itu berkata, beliau difahamkan cuaca kali ini merupakan yang paling kering dan panas, malah paras air tidak pernah jatuh menyusut begitu cepat di Johor pada tahun 2017 dan 2018 berbanding tahun ini.

"Inilah paling teruk kali ini. Bagaimanapun kita akan menaikkan usaha untuk meringankan juga beban ke atas Lok Heng. Kita akan cuba cari air sumber dengan secepat mungkin.

"Tapi buat sementara ini, kita kena akur mungkin ada gangguan bekalan air di Lok Heng pada masa terdekat. Notis akan dikeluarkan secepat mungkin untuk maklumkan kepada penduduk di Lok Heng,” katanya.

Jimmy menyarankan semua penduduk di Johor agar menggunakan air secara berhemah, bijak dan mengurangkan pembaziran memandangkan situasi semasa paras empangan agak kritikal ketika ini.