TONGGAK Kuala Lumpur City (KL City), Romel Morales menyifatkan satu penghargaan apabila pertama kali tercalon dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) bagi kategori Pemain Import Terbaik selepas mengharungi musim yang manis bersama The City Boys tahun ini.
Morales bersaing dengan dua lagi calon hebat iaitu Ifedayo Omosuyi (Selangor FC) dan Bergson da Silva (Johor Darul Ta’zim) menyaksikan persaingan cukup sengit untuk masing-masing merebut trofi tersebut.
Nyata, prestasi cemerlang pemain dari Colombia itu untuk menjadi penjaring terbanyak TM Piala Malaysia dengan 10 gol secara keseluruhan meletakkan dia sebagai calon yang akan diberi perhatian untuk mengungguli kategori Pemain Import Terbaik kali ini.
Dan dengan sejarah baharu yang dicipta bersama Kuala Lumpur City apabila berjaya menjuarai Piala Malaysia musim ini selepas 32 tahun telah memberi kepuasan kepada dirinya selain menganggap satu bonus sekiranya memenangi trofi itu.
"Satu penghargaan bermakna untuk saya apabila dicalonkan untuk kali pertama bagi anugerah ini.
"Apatah lagi bersaing dengan dua pemain hebat seperti Ifedayo dan Bergson, pada mulanya saya rasa tidak percaya juga dan gembira apabila diberi peluang.
"Tetapi, hanya yang terbaik akan memenangi trofi itu dan pastinya ia akan menjadi pelengkap untuk saya sekiranya dipilih sebagai Pemain Import Terbaik”, katanya.
Bagaimanapun, kehadiran Omosuyi dengan status selaku penjaring terbanyak Liga Super menerusi 26 gol pastinya memberi laluan sukar kepada Morales selain Bergson juga cemerlang bersama JDT pada musim ini dan menjadi penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan 23 gol serta 7 gol dalam saingan Piala Malaysia.
Justeru, melihat kepada pencapaian ketiga-tiga pemain import ini menyaksikan peluang cukup sengit antara mereka untuk merebut trofi itu apabila masing-masing belum pernah memenangi kategori tersebut sebelum ini.
Musim lalu kategori ini tidak dipertandingkan dan Diogo Luis Santo (JDT) telah dinobatkan sebagai pemenang terakhir selaku Pemain Import Terbaik pada tahun 2019 manakala Rufino Segovia (Selangor) pula menang pada tahun 2018.
Morales, Omosuyi dan Bergson adalah tiga calon terakhir di antara 10 calon bagi kategori Anugerah Pemain Import Terbaik yang disaring oleh Ahli Jawatankuasa Saringan ABK21 serta hasil undian daripada 23 Ketua Jurulatih, 23 kapten pasukan Liga Malaysia 2021 dan 23 wakil media yang ditutup pada 21 November.
Pemenang hanya akan diumumkan dalam ABK21 pada Sabtu ini yang turut membabitkan 15 kategori lain seperti Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik, Fan XI dan lain-lain lagi.
Majlis ABK21 akan disiarkan secara langsung menerusi unifiTV pada Sabtu, 4 Disember jam 9 malam.