SAINGAN sengit dijangka berlaku bagi kategori Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) dengan pemenang musim lalu, Benjamin Mora dari Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima tentangan hebat.
Antaranya ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala Malaysia 2021 selain ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.
Mora, Hodak dan Nafuzi adalah tiga calon terakhir terbaik di antara 10 calon bagi kategori Anugerah Ketua Jurulatih Terbaik yang disaring oleh Ahli Jawatankuasa Saringan ABK21 serta hasil undian daripada 23 Ketua Jurulatih, 23 Kapten pasukan Liga Malaysia dan 23 wakil media yang ditutup pada 21 November.
Menurut Hodak, beliau sememangnya gembira dengan namanya sekali lagi tersenarai dalam calon jurulatih terbaik namun tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenanginya.
Tambah pengendali dari Croatia ini, beliau meramalkan Mora atau Nafuzi mampu memenangi kategori ini.
"Saya pernah dicalonkan beberapa kali sebelum ini semasa di Kelantan dan JDT namun masih belum berpeluang memenanginya.
"Paling hampir semasa musim 2012, pada waktu itu saya sudah memenangi gelaran treble bersama Kelantan namun tiada rezeki untuk menang.
"Tahun ini, berada dalam senarai pencalonan adalah sesuatu yang sudah cukup menggembirakan, sama ada menang atau tidak semuanya bergantung kepada barisan penilai,” katanya.
Selain membawa Kuala Lumpur City muncul juara Piala Malaysia bagi menamatkan penantian selama 32 tahun, beliau juga meletakkan pasukan di tangga keenam Liga Super dengan mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.
Sementara itu, Nafuzi menganggap pencalonannya memberikan suntikan semangat untuk terus meningkat sambil mengakui bukan mudah berada dalam kalangan jurulatih terbaik di Liga Malaysia.
Sebagai jurulatih muda, beliau harap mampu terus menimba pengalaman berharga dalam meningkatkan ilmu kejurulatihannya selepas membawa Terengganu mara ke separuh akhir Piala Malaysia serta tempat keempat Liga Super.
"Saya sememangnya berbangga sekali lagi dicalonkan kerana ini akan memberikan motivasi kepada saya untuk bekerja keras pada masa akan datang.
"Selain itu, saya gembira kehadiran diri ini dalam senarai pencalonan membuktikan jurulatih muda tempatan mampu bersaing dengan jurulatih import yang lain.
"Sudah pasti sesiapa yang tercalon meletakkan harapan untuk menang tetapi saya fikirkan sesiapa sahaja boleh menang dengan Mora atau Hodak mungkin berpeluang,” katanya.
Selain itu, Mora juga dilihat berpeluang mempertahankan kemenangan tahun lalu selepas berjaya membawa kejuaraan Liga Super kali kelapan buat JDT selain mara ke pentas akhir Piala Malaysia.
Malah, JDT musim ini hanya tewas sekali dalam saingan Liga Super malah tidak kalah dalam 22 perlawanan berturut-turut sebelum kalah kepada Kuala Lumpur City di pentas akhir Piala Malaysia.