KUALA LUMPUR - Bukan MCA yang menentukan masa depan BN kerana terdapat empat parti komponen lain turut bersatu dalam gabungan tersebut.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, atas sebab itu pandangan semua parti dalam BN perlu diambil kira.
Iklan
Iklan
"Jika BN dibubarkan, ke mana kita akan pergi? Ke mana arahnya? Pembubaran tidak akan menyelesaikan masalah.
"Kita tidak akan menang pilihan raya hanya kerana kita dibubarkan sebaliknya adalah soal bagaimana kita hendak bergerak ke depan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyatakan, MCA sepatutnya mempertimbangkan untuk meninggalkan BN, bukannya mengeluarkan cadangan supaya BN dibubarkan.
"Akan lebih mudah jika MCA keluar. Kami kemudiannya boleh membuat keputusan tanpa perlu berunding dengan MCA. Tetapi memandangkan MCA tidak keluar, kita masih perlu duduk dan berbincang (cadangan pembubaran),” katanya.
Semalam, MCA mencadangkan dalam perhimpunan agungnya supaya BN dibubarkan.