GPS mampu peroleh kepercayaan rakyat Sarawak: BN

Iklan
BN memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak memerlukan ‘campur tangan luar’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini, kerana pemimpin-pemimpinnya cukup berkemampuan untuk memperoleh kepercayaan rakyat Sarawak.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, BN tidak akan menurunkan jenteranya pada PRN ini.

Iklan
Iklan

"Tetapi jika ada keperluan untuk beberapa orang pemimpin BN membantu, kami akan sentiasa ada di sini. Tetapi buat masa ini, tidak, kerana kami rasakan kepimpinan GPS adalah terbaik untuk mengendalikan Pilihan Raya Negeri ini dan mendapat kepercayaan daripada rakyat Sarawak sendiri,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Iklan

Mohamed berkata, kunjungan pemimpin-pemimpin BN ke Sarawak bertujuan memberikan sokongan moral kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan GPS dalam menghadapi PRN Sarawak ke-12.

Beliau berkata, BN secara rasmi tidak akan menyertai PRN Sarawak buat pertama kali.

Iklan

"Saya berharap rakyat negeri Sarawak dapat memberikan mandat yang besar kepada parti GPS semasa pilihan raya negeri akan datang. Kestabilan perlu ada jika kita hendak pembangunan dan kemakmuran,” katanya.

Mohamad turut menegaskan penggunaan bendera dan logo dacing BN tidak dibenarkan dalam kempen PRN Sarawak.

Katanya, BN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau mana-mana individu menggunakan lambang parti itu dalam kempen PRN di Sarawak.

"Selain daripada GPS, kita tidak ada parti yang mesra dengan BN. Jadi kita tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan lambang dacing kerana BN tidak menyertai PRN Sarawak ini,” tambahnya.

SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember ini, pengundian awal pada 14 Disember, manakala 18 Disember pula adalah hari pengundian PRN Sarawak. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:BN tidak akan sertai PRN Sarawak: Mohamad Hasan

ARTIKEL BERKAITAN:Parti utama PRN Sarawak umum calon